KL City FC pasukan lebih baik malam ini, mereka ada bajet yang amat tinggi – Bernardo Tavares

4,369

Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares akur kekalahan pasukannya kepada KL City FC pada perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC malam tadi dan menyifatkan lawannya bermain dengan lebih baik.

Menurutnya, pengadil melakukan tugas yang baik dan mereka tewas disebabkan banyak melakukan kesilapan demi kesilapan.


“Saya lihat pengadil ada melakukan beberapa kesilapan tetapi kami tidak tewas sebab keputusan pengadil

Kami hanya mula bermain dengan baik selepas mereka mendahului 3-0, dan selepas kami berjaya merapatkan jurang kepada 3-2, kami lakukan lagi kesilapan lain sehinggalah mereka dapat gol kelima,”

katanya.

Tambahnya, beliau sedar KL City mempunyai bajet yang lebih besar berbanding mereka dan dapat membuat persiapan yang lebih baik berbanding mereka kerana bermain di tempat sendiri.

Namun beliau kecewa kerana tidak dibenarkan untuk berlatih terlebih dahulu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi persiapan sebelum perlawanan.

“Kami sampai di sini pada 21 Ogos tetapi tak dibenarkan untuk berlatih di stadium ini, jadi untuk apa kami datang lebih awal?

Apabila kami menerima tetamu, kami cuba beri layanan yang terbaik kepada mereka dan saya rasa kami juga berhak mendapat layanan yang baik kerana kita harus hormati lawan kita. Saya tak kata KL City tidak menghormati kami, mungkin ia adalah keputusan daripada AFC.”

Dalam pada itu, Tavares berkata beliau bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh anak buahnya untuk cuba bangkit pada perlawanan itu.

Beliau berkata, prestasi pasukannya tidak boleh dinilai hanya daripada perlawanan ini kerana mereka sedang menunjukkan prestasi yang baik dalam saingan liga.

KL City berjaya menewaskan PSM Makassar 5-2 hasil jaringan Romel Morales, Jordan Mintah, Hadin Azman serta dua jaringan Paulo Josue, manakala gol PSM Makassar dijaringkan oleh Yakob Sayuri dan Akbar Tanjung.