Kami tak sangka mara hingga tahap ini, inilah hadiah Hari Kebangsaan daripada KL City FC – Bojan Hodak
Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mendedikasikan kemenangan pada perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC menentang PSM Makassar kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai hadiah Hari Kebangsaan.
Menurutnya, beliau tidak menyangka pasukannya mampu mara sehingga ke peringkat ini dan menyifatkan kemenangan ini adalah baik untuk Liga Malaysia.
“Kami tiada jangkaan yang tinggi, kami hanya sebuah kelab yang kecil dari Malaysia dan selepas ini kami hanya lalui perlawanan demi perlawanan.
Kami dah tunjukkan kami adalah pasukan ASEAN terbaik dalam kejohanan ini, manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) pula berjaya mara ke peringkat kalah mati kejohanan AFC Champions League, jadi ini adalah perkara yang baik untuk Liga Malaysia,”
katanya.
Menurutnya, KL City terpaksa berdepan kesukaran musim ini apabila kehilangan beberapa pemain, menyebabkan beliau terpaksa mengubah strategi.
Katanya, pemergian Daniel Ting ke JDT dan juga ketiadaan Declan Lambert buat beberapa bulan memberi kesan besar kepada pasukan sebelum ini.
Tambahnya, kemenagan ini adalah penting buat pasukannya selepas melalui musim yang tidak menentu dalam liga.
“Saya rasa setiap kemenangan amat penting kerana pemain akan menjadi lebih baik selepas setiap kemenangan.
Dalam tujuh perlawanan terakhir ini, pemain menunjukkan permainan yang lebih baik dan malam ini sekali lagi mereka berjaya buktikan.”
Beliau juga mengakui kejayaan merangkul Piala Malaysia musim lalu adalah sebuah kisah dongeng dan berharap ia mampu diulangi lagi dalam kejohanan Piala AFC.
Hodak bagaimanapun sedar perlawanan seterusnya akan menjadi lebih sukar kerana pasukan yang hebat bakal menanti mereka kelak.