Menjelang ‘final’ Piala FA, khabar angin perpindahan bintang Terengganu FC semakin menjadi-jadi
Kurang tiga minggu lagi menjelang perlawanan akhir Piala FA, Terengganu FC dan juga Johor Darul Ta’zim sudah tentu sibuk mempersiapkan diri bagi menghadapi aksi tersebut.
Namun di kem Terengganu, mereka nampaknya turut sibuk dengan kisah-kisah di luar padang melibatkan beberapa pemain bintang dan juga ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Sejak beberapa minggu ini, satu demi satu khabar angin perpindahan melibatkan pemain-pemain Terengganu iaitu, Rahadiazli Rahalim, Faisal Halim dan Shahrul Nizam, serta Nafuzi menjadi tumpuan dunia bola sepak tempatan.
Mereka dikaitkan dengan perpindahan ke pelbagai kelab tempatan termasuklah pasukan lawan pada perlawanan akhir nanti, JDT.
Perkara itu jelas tidak disenangi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu, Ab Rasid Jusoh yang mahu berita-berita seperti itu dihentikan.
Ia dilihat satu kebetulan khabar angin tersebut muncul menjelang perlawanan penting itu, seolah-olah sengaja mahu mengganggu fokus para pemain dan jurulatih.
Mereka bertiga juga merupakan tonggak penting buat pasukan, justeru sudah tentu fokus para pemain akan terganggu.
Kelab lain juga mempunyai ramai pemain berbakat yang mahu dipancing oleh banyak kelab lain, tetapi liputan nampaknya hanya tertumpu kepada pemain Terengganu sahaja.
Sekiranya desas-desus seperti ini terus timbul, sukar buat kem Terengganu kekal fokus dan mungkin JDT akan mendapat kemenangan mudah pada perlawanan akhir nanti.