Pergaduhan selepas tamat perlawanan Piala AFC Zon ASEAN bukan penyokong KL City FC – Khalid Samad

2,254

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad tampil menjelaskan bahawa pergaduhan yang berlaku di perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam sebaik tamat perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN dengan PSM Makassar, bukan penyokong KL City FC.

“Saya ingin menzahirkan perasaan kecewa dan marah terhadap peristiwa yang berlaku malam semalam iaitu insiden rusuhan daripada golongan yang mengacau yang kita tak tahu siapa dan kita telah membuat laporan polis.

Kita ingin menyatakan bahawa pihak KL City FC, KLFA dan penyokong-penyokong KL tidak terlibat dalam peristiwa itu sama sekali. Saya anggap ini adalah satu peristiwa yang bertujuan untuk memburukkan nama KL City dan KLFA,”

katanya.

Khalid pada masa sama juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan mereka yang terlibat dengan insiden tersebut telah diupah oleh pihak yang cemburu dengan kejayaan yang dikecapi oleh skuad The City Boys.


Tambahnya lagi, tiada kompromi buat pihak yang terlibat dengan insiden itu dan pihaknya mahu pihak berkuasa mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang bersalah.

“Kita mahu pihak polis dakwa mereka sekeras yang mungkin dan kita akan ‘ban’ orang-orang ini dari menghampiri kawasan stadium dengan mendapatkan perintah dari mahkamah.”

Dalam perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN telah menyaksikan KL City berjaya menumpaskan wakil dari Indonesia iaitu PSM Makassar 5-2 sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir Piala AFC Antara Zon.

Sebaik sahaja tamat perlawanan, pergaduhan telah tercetus di antara kedua-dua penyokong apabila terdapat ‘samseng bola sepak’ melakukan provokasi antara satu sama lain.

Bagaimanapun insiden itu berjaya dipatahkan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sekaligus berjaya mengelak kejadian menjadi lebih parah.

Budaya samseng bola sepak kini seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ apabila ia semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini membabitkan beberapa penyokong pasukan dan budaya ini perlu dihentikan dengan segera kerana sukan bola sepak menyatukan dan bukannya memecah belahkan penyokong.