Pengurusan sekolah jadi senjata kejayaan SMK Gunung Rapat lahirkan ramai atlet berkualiti
Sekolah Sukan Negeri Perak, SMK Gunung Rapat telah berjaya melahirkan atlet yang semakin menempa nama di peringkat tertinggi.
Terbaru, pemegang rekod baru kebangsaan dalam acara 100 meter, Azeem Fahmi juga merupakan antara pelari pecut yang berjaya dilahirkan oleh sekolah ini.
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Poad melihat kejayaan ini adalah hasil daripada sistem pentadbiran berkualiti yang wujud di sekolah ini dalam memantau kejayaan para atlet.
“Selain daripada fasiliti seperti trek dan gimnasium yang dimiliki oleh SMK Gunung Rapat, saya melihat sistem pentadbiran sekolah juga memainkan peranan besar kepada kejayaan sekolah ini.
Pengetua sangat menitikberatkan kemajuan kesemua sukan yang ada di sini, beliau memberi kerjasama 100% dalam kejayaan atlet-atlet di sini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau yang kini bergelar sebagai pelatih di sekolah ini masih mempunyai kontrak bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Cikgu Poad telah diberi tanggungjawab menguruskan latihan bagi program Podium serta pelapis kebangsaan.
Pendekatan latihan yang diterapkan oleh jurulatih berwibawa ini berjaya membuahkan hasil selepas atlet dari sekolah ini dilihat mendominasi kejohanan Majlis Sukan Sekolah Negeri Perak.
“Selain daripada sistem latihan sistematik yang saya terapkan, kita sebagai jurulatih perlu sentiasa belajar.
Jurulatih kena kaji sama ada sistem latihan yang digunakan bersesuaian atau tidak dengan atlet dan perkara ini adalah perkara yang saya terapkan.”
Beliau juga percaya selain usaha dari jurulatih, atlet sendiri mempunyai peranan yang besar dalam menentukan kejayaan mereka.
Pematuhan disiplin menjadi antara kunci utama yang perlu dipegang oleh para atlet bagi membolehkan mereka terus kekal fokus memberikan yang terbaik.
“Yang penting adalah disiplin, apa pun kejayaan yang ingin kita capai perlu ada disiplin dan perkara ini yang saya sering sematkan pada semua atlet.
Mereka kena disiplin dari segi makanan, rehat dan latihan tidak dilupa juga dengan pelajaran.”
Selain daripada pengurusan dan kepimpinan sekolah yang baik, inisiatif yang telah diambil selama beberapa tahun kebelakangan ini dilihat turut memainkan peranan besar kepada kejayaan ini.
Pihak SMK Gunung Rapat memberi sepenuh fokus kepada pemilihan atlet yang dilakukan menerusi Proses Mengenalpasti Bakat Sukan (TID)
Program ini memerlukan analisa yang cukup terperinci terhadap kesemua atlet bagi mengenalpasti bakat sukan yang dimiliki oleh mereka.
Perkara ini diakui oleh penyelaras sukan sekolah, Noor Zaid Saidin yang memikul tugas dalam memastikan kelancaran keseluruhan program dan sukan yang dimiliki oleh sekolah tersebut.
“Ujian TID telah banyak membantu sekolah dan perkara ini semakin menunjukkan hasil yang positif dalam menunjukkan arah yang lebih jelas dalam menentukan hala tuju seseorang atlet.”
Beliau juga bersependapat dengan Cikgu Poad tentang kualiti pengurusan sekolah yang memainkan peranan besar kepada kecemerlangan yang telah digapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pengurusan sekolah sangat baik, kerjasama dari pelbagai pihak sangat membantu dari segi pembangunan sukan dan sebagainya.
Dengan bantuan lebih ramai pihak, kekuatan pasukan kami menjadi lebih kukuh.”
Semoga kejayaan sekolah ini dapat diteruskan bagi tempoh masa yang panjang untuk membantu melahirkan lebih ramai atlet yang mampu menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.