Saya harap Lee Zii Jia dapat pamer aksi lebih bertenaga seperti Harimau – Cheah Liek Hou

629

Juara 11 Kejohanan Badminton Para Dunia BWF, Cheah Liek Hou mahu pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia bangkit dari kekalahan di Kejohanan Dunia BWF 2022 baru-baru ini dan terus tingkatkan kualiti permainannya.

“Lee Zii Jia mempunyai kekuatan yang bagus, jadi saya mahu beliau bermain dengan lebih bertenaga seperti Harimau. Saya mahu melihat beliau bermain dengan agresif dan sentiasa membuat serangan menggunakan kekuatan yang ada untuk mengutip poin demi poin dalam setiap perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, perjuangan pemain perseorangan nombor satu negara di Kejohanan Dunia terhenti pada pusingan ketiga selepas beliau tewas kepada pemain bukan pilihan dari China iaitu Zhao Jun Peng.


Kekalahan awal Zii Jia nyata telah mengundang kritikan ramai terhadap juara Seluruh England itu yang gagal menepati sasaran untuk menjulang trofi Kejohanan Dunia.

Malah ada yang menyindir pemain badminton berusia 24 tahun itu dengan berkata, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ berikutan tindakannya sebelum ini menarik diri dari menyertai Sukan Komanwel 2022 kerana mahu buat persiapan rapi bagi menghadapi Kejohanan Dunia.

Disebalik kegagalan Zii Jia, Liek Hou melihat Malaysia tidak ketandusan pemain perseorangan kerana pemain muda negara Ng Tze Yong mempunyai potensi yang cukup besar untuk menjadi salah seorang pemain perseorangan utama negara.

“Saya lihat Tze Yong ada potensi yang sangat bagus dari segi fizikal dan pukulannya yang cukup menakjubkan.

Jadi saya harap BAM (Persatuan Badminton Malaysia) akan menghantar beliau ke lebih banyak kejohanan untuk mendapat lebih banyak pengalaman supaya beliau dapat tingkatkan kualiti permainannya dalam tempoh terdekat ini.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Musim Panas 2020 ini berkata beliau baru sahaja pulang dari tiga kejohanan berturut-turut dan kini sedang membuat persiapan untuk Kejohanan Badminton Para Dunia BWF pula.

“Saya baru pulang dari Thailand, dan sebelum itu saya ada dua kejohanan di Ireland dan Solo, Indonesia untuk Sukan Para ASEAN, jadi tiga kejohanan berturut-turut membuatkan saya tidak dapat rehat secukupnya.

Bagaimanapun kini saya sudah pulang ke Malaysia saya akan berehat seketika sebelum kembali membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia pula yang dijadualkan berlangsung pada awal November ini, jadi dengan tempoh persiapan dua bulan ini saya harap ia akan dapat bantu saya dapat kemenangan nanti.”

Liek Hou juga berkata beliau tidak akan meletakkan tekanan kepada dirinya sendiri untuk menghadapi Kejohanan Dunia walaupun mempunyai rekod yang cukup cemerlang di kejohanan tersebut.

“Saya tidak akan letak sebarang tekanan kepada diri saya sendiri kerana saya sudah mencapai kejayaan dalam semua kejohanan termasuk Kejohanan Dunia, jadi saya akan bermain seperti biasa dan jika saya menang, saya akan anggap ia sebagai bonus.”