Muhammad Amirul Haziq harap dapat tembusi pasukan Selangor FC II, mahu wakili Malaysia
Pemain Piala Belia Selangor FC, Muhammad Amirul Haziq bertekad mahu berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat mewakili pasukan senior.
Menurutnya, beliau juga mempunyai sasaran untuk mewakili skuad kebangsaan selepas kali terakhir melakukannya ketika bergelar pemain Akademi Mokhtar Dahari.
“Kalau ada rezeki nama saya dipanggil untuk mewakili Malaysia sudah tentu saya mahu jadi saya akan tingkatkan lagi tahap permainan saya dan beri 100 peratus ketika sesi latihan dan juga dalam perlawanan.
Di peringkat kelab, saya berharap mampu naik ke pasukan Selangor II selepas ini. Bagi saya Selangor ini adalah salah satu kelab terbaik untuk kembangkan karier dalam usia muda ini,”
katanya.
Dalam perlawanan akhir Piala Belia 2022 menentang Sri Pahang FC, Amirul menjaringkan gol menerusi sepakan percuma untuk membantu Selangor menang agregat 2-1.
Menurutnya, beliau tidak menyangka bola itu akan masuk dan mengakui gol itu penting kerana bermain di gelanggang lawan.
“Memang kami kena cari gol sebab main di gelanggang lawan, kalau mereka dapat gol dahulu mereka akan dapat semangat untuk menewaskan kami.
Jadi semua pemain tetapkan dalam kepala untuk jaringkan gol dan rezeki untuk saya sepakan percuma saya masuk.”
Dalam pada itu, beliau juga berkata rakan sepasukannya, Muhammad Harry Danish ada memberinya dorongan untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu.
Katanya, kejayaan mereka menjulang piala tersebut adalah berkat kerjasama semua pihak dalam pasukan.