Azeem Fahmi kurang setuju pengguguran sukan di SUKMA 2022, ambil kira penat lelah atlet yang telah berlatih

672

Pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Azeem Fahmi mempunyai pandangan tersendiri terhadap keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) untuk menggugurkan sebilangan besar sukan utama pada tahun ini.

Pembatalan sukan-sukan tersebut dikaitkan dengan jumlah penyertaan yang tidak berjaya mencapai syarat minima untuk sesebuah acara dipertandingkan.


Azeem selaku seorang atlet bersimpati terhadap pihak yang terkesan dengan keputusan ini tatkala persiapan telah dilakukan sejak sekian lama.

“Pada pandangan saya, bila bercakap tentang pengguguran sukan ini, saya faham tentang jumlah atlet yang tidak mencukupi.

Namun, kita juga perlu mengambil kira penat lelah atlet yang cuba bertanding dalam acara ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain Azeem, keputusan ini turut mendapat reaksi dari pelbagai pihak yang mempersoalkan tindakan ini.

Hal ini kerana, ia sedikit bercanggah dengan tujuan asal SUKMA iaitu untuk menggalakkan seramai mungkin atlet muda berbakat yang boleh diketengahkan selaku pelapis untuk memikul cabaran negara pada masa hadapan.

SUKMA seharusnya menjadi platform yang memberi peluang mencukupi kepada semua sukan untuk mengenalpasti lebih ramai bakat muda yang boleh diasah.

Tambahan pula, bukan semua sukan di Malaysia memiliki peluang sama rata untuk menonjol di peringkat tertinggi.

Para atlet yang hadir dari sukan minoriti seperti taekwando sudah semestinya berharap agar SUKMA dapat jadi medium untuk mereka tonjolkan keupayaan namun perkara yang sebaliknya terjadi.

“Ada di antara mereka yang berpotensi, tetapi susah menonjol kerana kebanyakan kejohanan terbuka di Malaysia juga tidak mempertandingkan acara tersebut.

Kalau saya berada di tempat mereka, saya juga akan berasa amat kecewa sebab kita dah korbankan banyak masa untuk berlatih dan sebagainya.”

Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan usaha persatuan-persatuan terlibat yang telah lama berusaha untuk menjulang nama negara dalam sukan yang mereka wakili.

Terjun menjadi antara sukan yang paling banyak acara digugurkan dan perkara ini akan menjejaskan lagi perkembangan sukan tersebut yang semakin mendapat perhatian dari seluruh negeri di Malaysia.

Semoga keputusan lebih baik bakal dibuat pada penganjuran SUKMA yang seterusnya bagi memastikan pembangunan atlet muda dapat dicapai secara menyeluruh.

SUKMA Kuala Lumpur 2022 akan menjadi penyertaan kali kedua Azeem dalam temasya sukan utama negara.