Sudah tiba masanya Misbun Sidek ganti Wong Choong Hann sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara
Dunia badminton negara kini sedang bergembira dengan kejayaan pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya merangkul kejuaraan di Kejohanan Badminton Dunia edisi ke-27 di Tokyo, Jepun semalam.
Disebalik kemeriahan seluruh peminat badminton Malaysia dengan kejayaan bersejarah itu, timbul sedikit kebimbangan pada kategori perseorangan lelaki apabila pemain perseorangan nombor satu negara yang juga sandaran negara untuk rangkul kejuaraan, Lee Zii Jia sekali lagi kandas di tengah jalan.
Kegagalan Zii Jia ini pasti memberi tekanan tambahan buat Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann yang sebelum ini diberi tempoh enam bulan untuk mencari pemain kedua dan ketiga utama perseorangan negara.
Berbeza pula dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, beliau membuktikan kewibawaan dengan berjaya hasilkan beregu juara Dunia dan beberapa lagi gandingan bertaraf antarabangsa.
Tidak dapat dinafikan di BAM sendiri terdapat beberapa pemain muda yang dilihat mempunyai potensi yang cukup besar menjadi salah seorang pemain perseorangan utama negara namun prestasi tidak menentu membuatkan negara masih lagi tiada pemain perseorangan kedua atau ketiga yang mampu jadi pencabar utama di bawah Choong Hann.
Bagaimanapun, masih ada sinar harapan dalam kategori itu apabila perseorangan muda negara yang sedang meningkat naik, Justin Hoh baru sahaja merangkul gelaran keempatnya musim ini apabila berjaya menang India Junior International Series semalam.
Kehebatan Pengarah Pembangunan BAM, Datuk Misbun Sidek tidak dapat dinafikan lagi kerana beliau merupakan pakar dalam menghasilkan pemain perseorangan berkelas dunia dan telah pun membuktikannya dengan melahirkan legenda dan juga bekas pemain No. 1 Dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei dan beberapa lagi.
Dibawah bimbingan Misbun, Justin telah memperlihatkan peningkatan prestasi drastik yang mana sejak merangkul National Under-21 Championship, beliau merangkul dua lagi kejohanan senior iaitu Bonn International dan Croatia Open.
Jika Justin terus berada di bawah bimbingan Misbun, tidak mustahil pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bakal menjadi ‘the next Lee Chong Wei’ dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Mungkin ramai yang sudah lupa akan impak Misbun terhadap karier Chong Wei yang mana selepas jurulatih berusia 62 tahun itu keluar dari BAM, prestasi pemain itu terus merudum dan tidak begitu konsisten.
Nekad mahu kembali berada di tahap terbaik, Chong Wei bertindak proaktif dengan memujuk ‘sifu’nya itu untuk kembali melatihnya dan selepas Misbun kembali, beliau kembali kepada prestasi sebenar.
Mungkin tempoh enam bulan oleh BAM kepada Choong Hann adalah satu keputusan tepat kerana jika beliau gagal lahirkan pemain kedua dan ketiga utama negara, jawatannya sebagai Pengarah Perseorangan harus diserahkan kepada Misbun.
Jika ia menjadi kenyataan, sudah pasti masa depan perseorangan negara akan menjadi lebih cerah kerana semua sedia maklum dengan rejim latihan Misbun yang sangat tegas, ia pasti akan membentuk ramai pemain hebat kelas dunia.
Sudah tiba masanya untuk rombakan barisan kejurulatihan perseorangan negara BAM dilakukan bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang akan menjadi pesaing utama dan bukannya hanya sekadar pelengkap jadual.