Urusan naturalisasi Jordi Amat hampir selesai, semakin pasti isi kuota ASEAN di JDT

490

Pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Jordi Amat semakin hampir mengisi kuota pemain ASEAN Liga Malaysia (Liga M) selepas proses naturalisasinya diteruskan oleh kerajaan Indonesia.

Beliau tidak akan beraksi untuk baki saingan musim ini kerana tidak sempat didaftarkan pada jendela perpindahan kedua musim ini.


Amat sudah beraksi pada aksi AFC Champions League (ACL) musim ini selepas dibawa masuk oleh ketua jurulatih, Hector Bidoglio pada perlawanan menentang Urawa Red Diamonds yang berakhir dengan kekalahan besar.

Walaubagaimanapun, kehadiran pemain berusia 31 tahun ini untuk mengisi kuota ASEAN pada musim depan bakal memberi kelebihan yang besar kepada JDT.

Ini akan membuka ruang untuk pasukan Harimau Selatan memanfaatkan tiga kuota import terbuka untuk diturunkan dalam perlawanan Liga Super musim depan.

Situasi seperti ini memperlihatkan dominasi JDT di Liga M pada ketika ini akan kekal berterusan pada musim depan.

Selain Amat, Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPRI) turut berminat untuk meneruskan proses naturalisasi untuk seorang lagi pemain, Sandy Walsh yang kini beraksi di Belgium bersama pasukan KV Mechelen.

Kehadiran dua orang pemain ini dilihat akan menjadi ancaman yang besar kepada skuad kebangsaan di kejohanan besar selepas ini bermula dengan Piala AFF 2022 yang dijadual membuka tirai Disember ini.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dilihat semakin produktif dalam usaha meningkatkan kualiti pasukan tersebut menjelang aksi Piala Asia yang bakal bermula pada tahun hadapan.

Namun, dalam kerancakan usaha ini, pihak DPRI telah menekankan beberapa syarat utama yang perlu dipatuhi oleh pemain ini bagi mengelakkan isu yang melibatkan pemain naturalisasi negara tersebut berulang kembali.  

Syarat pertama adalah para pemain naturalisasi seharusnya lebih merendah diri dan tidak sombong terutamanya selepas memiliki pasport.

Mereka juga perlu berhati kental dan memahami suasana penyokong bola sepak Indonesia yang fanatik terhadap pasukan negara tersebut.

Akhi sekali, DPRI juga meletakkan syarat agar kesemua pemain ini dapat mempelajari bahasa Indonesia dengan kadar segera termasuk menghafal lagu Indonesia Raya serta Pancasila.

Sebelum ini, Indonesia telah membawa masuk ramai pemain naturalisasi namun prestasi mereka terus merudum selepas dibawa masuk.

Sebagai contoh, Diego Michiels yang pernah dibawa masuk sebagai pemain naturalisasi pada tahun 2011.

Selepas cemerlang bersama skuad B-23 Gardua, Michiels hanya beraksi sebanyak tiga kali untuk skuad utama Indonesia dari tahun 2012 sehingga 2014.

Dalam pada itu, proses naturalisasi pemain Viking FK, Shayne Pattynama masih belum dapat diteruskan kerana dokumennya yang tiba lewat.

Jelas sekali, Indonesia semakin komited dalam mempertingkatkan kemampuan untuk mendominasi saingan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara malah mampu menakluk Asia.