FA Thailand berhutang geran dengan kelab, integriti pengurusan kini mula dipersoalkan

883

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) kini sedang berhadapan dengan isu kewangan yang semakin kritikal selepas mereka dilaporkan berhutang dengan beberapa kelab di Liga Thailand.

Badan induk bola sepak tersebut telah berhutang sejumlah besar wang daripada geran yang sepatutnya diberikan kepada pasukan di Liga 1, 2 dan 3 negara tersebut.


Perkara ini memberi kesan kepada kelab-kelab kecil yang dilihat bergantung sepenuhnya kepada geran bantuan yang diberikan oleh persatuan negara tersebut.

Masalah kewangan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kelab, malah ia juga memberi kesan kepada pembangunan bola sepak negara tersebut.

Sebelum ini, Thailand meletakkan harapan tinggi untuk melihat pasukan B-23 mereka layak ke Sukan Olimpik 2024.

Namun, ekoran daripada masalah kewangan yang dihadapi, impian ini dilihat sedikit terjejas kerana mereka tidak berjaya mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara dan hanya berharap kepada pengendali skuad utama, Alexander Polking.

Keputusan ini dilakukan selepas kontrak bekas ketua jurulatih B-23, Worrawoot Srimaka tidak disambung.

Terdahulu, tular sebuah video yang menunjukkan seorang pegawai rasmi yang bertanggungjawab mengendali Bantuan Video Pengadil (VAR) dilihat meraikan sepakan penalti yang diberikan kepada pemain Chonburi FC pada perlawanan menentang Buriram United di Stadium Chonburi.

Pertahanan Buriram United, Sasalak Haiprakhon turut dikeluarkan pada minit ke-30 selepas pengadil mengubah keputusan daripada kad kuning kepada layangan kad merah.

Ketiadaan pemain berusia 26 tahun tersebut memberi impak besar kepada barisan pertahanan pasukan Buriram United.

Kekurangan satu pemain memberi peluang kepada pasukan lawan untuk kembali mendekatkan perbezaan jaringan dan mengakhiri perlawanan dengan keputusan 3-2.

Tindakan pegawai tersebut menimbulkan persoalan tentang integriti bola sepak di negara tersebut yang semakin kritikal.

Sebelum ini, pihak FAT pernah memberhentikan penggunaan sistem VAR pada tahun 2018 selepas timbul beberapa masalah seperti kekurangan pegawai yang layak menguruskan.

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa masalah korupsi bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia malah turut dihadapi oleh negara seperti Thailand meskipun mereka dicanang sebagai antara kuasa besar bola sepak di Asia Tenggara.

Keadaan ini perlu menjadi teladan kepada pihak bertanggungjawab di Malaysia bagi mengelakkan situasi yang lebih teruk bakal menimpa bola sepak Malaysia.

Kini, Malaysia berada dalam keadaan yang baik selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023 serta kejayaan beberapa pasukan di peringkat Asia.

Momentum kecemerlangan ini seharusnya dikekalkan agar tidak terjejas dengan perkara-perkara negatif seperti ini.