Kualiti skrip dan karya jadi faktor utama Beto Kusyairy setuju bintangi Anak Rimau The Movie

419

Apabila bercakap mengenai pelakon berkualiti tanah air sudah pasti nama pelakon Beto Kusyairy akan menjadi disebut-sebut kerana beliau merupakan antara pelakon yang berada di kelasnya tersendiri.

Bagi yang mengenali Beto pasti tahu bahawa beliau sangat selektif terhadap naskhah yang dibintangi kerana beliau sangat menitik beratkan kualiti skrip dan karya.


Dengan adanya dua elemen itu dalam filem Anak Rimau The Movie membuatkan beliau bersetuju untuk membintangi filem itu sebagai jurulatih sukan bola sepak Coach Zainal Abidin.

“Saya anggap pembabitan saya dalam filem Anak Rimau The Movie ini sebagai satu sumbangan saya pada sukan yang saya cukup minat dari kecil iaitu bola sepak.

Yang keduanya saya teringin nak bekerja dengan pengarah Areel Abu Bakar dan ketiga adalah skrip itu sendiri. Memang saya cukup menitik beratkan dua aspek iaitu skrip dan dengan siapa yang saya akan bekerja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah pelakon berusia 42 tahun itu lagi, beliau mahu naskhah yang dibintanginya memberi impak kepada penonton.

Dalam filem tersebut, beliau akan membawa watak sebagai jurulatih yang cukup tegas dan komited dengan tugasan membimbing pasukan pemain bola sepak muda.

Beto mengakui pada mulanya beliau berasa agak bimbang apabila perlu berlakon bersama ramai pelakon muda yang tidak mempunyai pengalaman berlakon, namun kebimbangannya itu hilang apabila beliau masuk ke set.

“Kebanyakan pelakon ketika itu adalah pelakon kali pertama jadi timbul kegusaran, namun selepas mereka masuk ke bengkel lakonan di bawah kendalian guru lakonan terkenal Fatimah Abu Bakar, kegusaran itu lenyap dan apabila masuk set ia terbukti semuanya berjalan dengan lancar.”

Dalam pada itu, pelakon remaja Idan Aedan mengakui berasa berasa agak gementar apabila berlakon dengan nama besar seperti Beto, namun cabaran paling utama buatnya bukannya berlakon sebaliknya bermain bola.

“Memang risau apabila berlakon dengan Beto tambah-tambah beliau berlakon sebagai watak coach, tapi bagi saya cabaran paling besar adalah bukan lakonan tetapi perlu bermain bola sepak sebab kita ada 11 orang pemain dari AMD (Akademi Mokhtar Dahari). Mereka adalah kali pertama berlakon dan saya kali pertama bermain bola sepak.

Jadi kami perlu berkongsi informasi yang mana saya berkongsi ilmu berlakon dan mereka kongsi ilmu bermain bola dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.”

Tambahnya lagi, berkesempatan untuk bersama kesemua pemain AMD selama dua bulan sebelum penggambaran sememangnya banyak membantunya dalam mencipta keserasian dengan kesemua pemain AMD.

Selain Beto dan Idan, filem terbitan Keeklr Studios ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Azhan Rani, Adam Corrie dan ramai lagi.

Anak Rimau The Movie akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 September ini.