E. Elavarasan harap kelab beri kerjasama padanya untuk jayakan perancangan skuad B-23

650

Setelah sekian lama berteka-teki siapakah yang akan menggantikan Brad Maloney, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya telah mengumumkan E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 yang baru.

Walaupun Elavarasan dilantik sebagai ketua jurulatih B-23, namun beliau akan tetap memegang jawatan sebagai penolong ketua jurulatih kepada skuad utama di bawah kendalian Kim Pan-gon.


Mengakui tugas berat menantinya dan berharap akan mendapat kerjasama daripada semua kelab untuk melepaskan pemain yang akan dipanggil kelak bagi menjayakan perancangan yang telah diatur untuk skuad B-23.

“Kita sudah mempunyai perancangan untuk membentuk skuad dan untuk merealisasikan rancangan itu kita perlukan kerjasama daripada semua kelab kerana kita boleh ada rancangan terbaik dengan barisan kejurulatihan terbaik tetapi jika pemain tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing, bagaimana hendak bina sebuah skuad ampuh,”

katanya.

Tambahnya lagi, beliau memahami dilema yang dihadapi oleh setiap jurulatih yang perlu mengutamakan kelab yang bersaing di liga, oleh itu mereka akan cuba cari jalan terbaik untuk mendapatkan pemain-pemain yang dimahukan.

Barisan kejurulatihan skuad B-23 Malaysia yang baru.

Pada masa sama, bekas pengendali Sarawak United FC itu juga menyambut baik penstrukturan Liga Malaysia yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL) yang mana mereka akan memperkenalkan Liga Simpanan.

“Dengan wujudnya Liga Simpanan pada musim depan ia pasti akan memberi kelebihan kerana kita akan dapat cari lebih banyak bakat untuk untuk diserap ke skuad B-23. Saya juga yakin kesemua kelab turut teruja dengan penstrukturan liga musim depan.”

Dalam pada itu, Elavarasan berkata untuk skuad B-23, beliau akan menerapkan falsafah dan prinsip yang sama dengan skuad utama tetapi akan lebih agresif bagi memastikan pemain-pemain ini akan bersedia apabila diserap ke skuad utama nanti.

“Kita akan teruskan falsafah dan prinsip yang sama tapi saya akan pastikan latihan dilakukan dengan lebih lagi kerana kita mahu pemain bermain dengan lebih agresif, dominan, dinamik dan sentiasa mengambil risiko untuk menyerang.

Kita juga akan menerapkan corak permainan menekan pihak lawan untuk membuat kesilapan dan kita akan ambil kesempatan dari kesilapan itu. Selain serangan, kita juga akan mengukuhkan di setiap bahagian lain. Dengan ini apabila mereka naik ke skuad utama mereka sudah bersedia.”

Sementara itu, beliau tidak meletak sebarang sasaran untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 kerana perlu realistik dengan kedudukan ranking negara ketika ini.

Walaupun mengakui berdepan tugas cukup berat, namun beliau akan pastikan pemain beri aksi yang terbaik dan beliau akan tingkatkan kualiti pemain ke tahap tertinggi.

FAM turut melantik Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai penolong jurulatih, Kris Yong jurulatih penjaga gol dan dua jurulatih dari Korea Selatan, Jihyeon Park; jurulatih kecergasan dan Lee Jeyoon; jurulatih analisis prestasi.