Tindakan kita bawa Rexy Mainaky tepat, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan terima ganjaran lebih banyak – Faizal Azumu
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berjanji pihaknya akan memberikan ganjaran lebih kepada beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik selain daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM20,000 selepas menjuarai Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini.
Beliau berkata, nilainya masih belum diputuskan tetapi pihaknya memutuskan untuk memberikan ganjaran itu berikutan kejayaan mereka sebagai atlet pertama yang memenangi pingat emas di kejohanan itu.
“kejayaan ini hadir selepas setahun mereka dapat gangsa dalam Olimpik, ini menunjukkan bahawa mereka menunukkan peningkatan dan telah berjaya menepis tanggapan negatif terhadap mereka.
Walaupun bergabung pada 2018 dan sentiasa tewas pada separuh akhir, mereka tak putus asa dan terus berlatih sehingga berjaya mencatat kejayaan ini,”
katanya.
Beliau juga berpendapat bahawa tindakan membawa Rexy Mainaky sebagai ketua jurulatih beregu negara semula adalah satu keputusan yang tepat.
Katanya ini adalah hasil daripada keputusan yang dilakukan oleh pihaknya dan juga Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Kita lihat beliau telah melatih melatih kedua-dua pemain ini dengan begitu baik sekali.
KBS sememangnya bekerjasama baik dengan BAM malah badan induk itu adalah satu-satuanya persatuan sukan yang mempunyai pasukan sains sukan sendiri yang kita sediakan.”
Aaron dan Wooi Yik muncul juara pada kejohanan tersebut menewaskan pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan 21-19, 21-14.