Noor Azman akui jawatan Setiausaha Agung FAM adalah ‘kerusi panas’ tapi yakin mampu galas amanah yang dipertanggungjawabkan

577

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru, Noor Azman Haji Rahman mengakui jawatan yang dijawatnya ketika ini adalah ‘kerusi panas’, namun beliau yakin mampu galas tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

“Saya faham kerusi ini adalah kerusi panas (jawatan Setiausaha Agung) tapi InsyaAllah dengan ikhlas saya yakin mampu melakukannya dengan berkat dan pengalaman saya,”

katanya.

Noor Azman pada masa sama turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin dan barisan Exco FAM yang menyokong perlantikannya sebagai Setiausaha Agung baru bagi menggantikan Saifuddin Abu Bakar.


Dalam pada itu, beliau yang memulakan tugasnya pada hari ini (1 September) berharap akan mendapat kerjasama daripada pihak media untuk bantunya menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung dengan baik.

Beliau juga meminta jasa baik pihak media untuk memberinya sedikit masa untuknya memulakan tugasnya terlebih dahulu sebelum menjawab sebarang pertanyaan daripada pihak media.

Pengenalan Noor Azman sebagai Setiausaha Agung yang baru dibuat selepas pengumuman ketua jurulatih skuad B-23 yang menyaksikan E. Elavarasan telah dilantik bagi menggantikan Brad Maloney.

Noor Azman tidak asing di FAM kerana beliau merupakan Koordinator Presiden FAM selain pernah terlibat dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM seperti Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019).

Terdahulu, beliau merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) untuk penggal 2020-2023, namun telah melepaskan jawatan tersebut apabila dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM yang baru.