Daripada musuh ketat, Selangor FC kini hanya jadi pasukan ‘pemanas badan’ bagi JDT

1,569

Pertemuan antara kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC boleh dianggap sebagai salah satu perlawanan yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan.

Permusuhan antara kedua-dua pasukan terutama dalam kalangan penyokong sentiasa membangkitkan kehangatan perlawanan antara kedua-dua pasukan itu.


Namun dalam beberapa pertemuan sebelum ini, ia ibarat ‘berat sebelah’ dengan majoritinya hanya berpihak kepada JDT.

Dalam lima perlawanan terakhir, JDT memenangi empat perlawanan, manakala Selangor langsung tidak pernah menang.

Jumlah jaringan dalam kelima-lima perlawanan itu juga ‘ibarat langit dengan bumi’ dengan JDT berjaya menjaringkan 18 gol  manakala Selangor hanya empat.

Malah, ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio ibarat tidak gentar apabila turun bertemu pasukan Selangor dalam aksi Liga Super Sabtu ini.

Menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu FC pada 10 September ini, Bidoglio hanya mahu menjadikan aksi tersebut sebagai ‘pemanas badan’.

Ini juga mungkin menjadi medan buat Bidoglio memilih pemain yang layak untuk berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan akhir Piala FA nanti.

Bagi Selangor pula, setiap perlawanan yang ditempuhi ketika ini ibarat perlawanan ‘hidup dan mati’ memandangkan tekanan yang diberikan oleh penyokongnya.

Mana tidaknya, mereka langsung tidak mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Lebih menyedihkan, mereka sebelum ini tewas kepada pasukan PJ City FC yang kali terakhir mencatatkan kemenangan pada April lalu.

JDT dan Selangor masing-masing sudah menempuhi 15 perlawanan Liga Super musim ini tetapi JDT sudah meraih 41 mata, lebih dua kali ganda berbanding Selangor yang hanya mengumpul 16 mata.

Melihat kepada nasib berbeza kedua-dua pasukan tersebut, adakah tahap JDT yang semakin meningkat dengan pantas atau Selangor yang semakin ke belakang?