Kecewa atlet pekak tidak terlibat dalam perarakan Sambutan Merdeka ke-65

334

Disebalik keterujaan dan kegembiraan ramai dalam menyambut Hari Merdeka yang ke-65 semalam, namun ada pihak yang kesal apabila sumbangan besar atlet OKU (Orang Kurang Upaya) pekak masih lagi tidak diiktiraf.

Kekecewaan itu diluahkan oleh penaja utama Program Larian Amal MSDeaf 2022 iaitu Nicholas Aw dari OE Edutech Berhad.


“Semalam di Dataran Merdeka saya berasa amat bangga sebagai seorang rakyat Malaysia kerana dapat lihat semua bangsa di sana. Kita sudah merdeka 65 tahun tapi satu fakta yang kita tidak boleh nafikan adalah ada juga minoriti yang dianaktirikan.

Apabila saya lihat tiada seorang pun atlet dari MS Deaf terlibat dalam perarakan saya berasa amat sedih kerana mereka juga rakyat Malaysia dan mereka juga sudah bertungkus-lumus mengharumkan nama negara tetapi mereka tidak dapat pengiktirafan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nicholas berharap situasi ini dapat diubah dengan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai MS Deaf.

Pada bulan Mei lalu pemain badminton beregu wanita pekak negara iaitu Boon Wei Ying/Foo Zu Tung berjaya mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Deaflympic yang berlangsung di Brazil.

Kejayaan bersejarah itu sekaligus menamatkan penantian 21 tahun kemarau pingat emas di Sukan Deaflympic.

Dalam pada itu, Presiden MS Deaf iaitu Ong Shin Ruenn memberitahu penganjuran Program Larian Amal MS Deaf 2022 yang akan berlangsung pada 2 Oktober ini dibuat bersempena dengan Minggu Kesedaran Pekak Antarabangsa.

Menurut Shin Ruenn, idea Program Larian Amal MS Deaf ini dicetuskan oleh Penaung DiRaja kepada MSDeaf, DYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

“Idea ini dicetuskan oleh Penaung DiRaja yang mahu memberi kesedaran kepada orang ramai yang mana mereka akan berlari dengan atlet-atlet pekak.

Baginda mahu kesedaran ini diperluas dan juga mahu mengumpul dana untuk pembangunan sukan untuk atlet pekak dalam negara.”

Tambahnya, Penaung DiRaja akan turut sama menyertai larian amal ini bersama atlet-atlet pekak lain dan juga orang ramai yang akan turut serta.

Apa yang membuatkan acara larian amal ini lebih menarik adalah setiap peserta akan diberi ear plug untuk dipakai ketika berlari bagi memberi pengalaman bagaimana rasa jadi seorang yang pekak sepanjang tempoh larian.

Acara larian amal itu akan mengambil tempat di Dataran DBKL, Kuala Lumpur dan berbagai acara menarik, cenderahati dan cabutan bertuah menanti orang ramai.

Jika anda berminat untuk turut serta dalam Larian Amal MS Deaf ini, boleh klik pautan di bawah ini.

http://49.236.195.71:7504/page/Event1/index-msd.html