Harap sukan catur dapat bantuan dana untuk realisasi impian lahirkan Grandmaster catur pertama Malaysia

371

Ketua jurulatih pasukan catur ASEAN University Games (AUG) Malaysia, Mohd Ezmi Mahmood berharap agar sukan catur akan mendapat perhatian dan bantuan dana daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pihak korporat atau mana-mana badan NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan).

Menurut Mohd Ezmi, Malaysia mempunyai pemain-pemain catur yang cukup berbakat besar namun mereka tidak dapat mengembangkan lagi bakat mereka dengan menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa kerana kekangan dana.


“Sukan catur di Malaysia memperlihatkan perkembangan positif dengan kita mempunyai ramai bakat besar tetapi kita berdepan masalah kekangan dana menyebabkan pemain-pemain ini tidak dapat menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

Oleh itu saya berharap agar pihak kerajaan (KBS) atau mana-mana badan korporat atau NGO dapat memberi bantuan dari segi dana untuk membantu pemain catur tempatan untuk bersaing dengan pemain catur dari luar negara dan juga merealisasikan impian untuk lahirkan pemain Grandmaster pertama di Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian kerana yakin dengan kemampuan pemain catur negara dan ia telah pun dibuktikan apabila pemain catur berusia 13 tahun dari pasukan kebangsaan Olimpia, Poh Yu Tian berjaya menewaskan Grandmaster Lubomir Ftacnik dari Slovakia baru-baru ini dalam satu kejohanan yang berlangsung di Chennai, India.

Kejayaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu telah mendapat perhatian Timbalan Menteri KBS iaitu YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker.

“Timbalan Menteri KBS ada menghubungi saya untuk aturkan pertemuan dengan Yu Tian dan juga dengan pemain No. 1 negara dan pihak KBS mengakui sukan catur sudah memperlihatkan peningkatan yang cukup positif.”

Terdahulu pada kejohanan AUG yang berlangsung di Thailand baru-baru ini, pasukan catur kendalian Mohd Ezmi telah berjaya menyapu bersih kesemua empat pingat emas serta turut membawa pulang dua pingat perak.

Kesemua pingat itu disumbangkan menerusi acara individu lelaki dan wanita, serta berpasukan lelaki dan wanita.

Mohd Ezmi kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Festival Catur Malaysia ke-17 yang sudah pun membuka tirainya semalam (2 September) dan akan berlangsung hingga 11 September ini di Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur.

Pelbagai kategori dipertandingkan dan Mohd Ezmi akan bersaing dalam kategori terbuka yang akan berlangsung pada Isnin ini.