Yeoh Li Tian akui agak mustahil jadi pemain catur sepenuh masa di Malaysia

1,808

Pemain catur No. 1 Malaysia, Yeoh Li Tian mengakui agak mustahil untuk pemain catur di negara ini mahu jadi pemain catur sepenuh masa kerana sukan catur bukan sukan yang popular.

“Saya akan jadi pemain catur sambilan seperti ketika ini kerana bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia sememangnya sukar untuk menjadikan sukan catur sebagai kerjaya kerana catur bukanlah satu sukan yang popular.

Oleh itu saya akan kekal sebagai pemain catur sambilan dan mungkin akan jadi jurulatih serta terus sertai kejohanan-kejohanan catur yang ada,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Li Tian memberitahu beliau mula bermain sukan catur sejak berusia tiga tahun sudah 20 tahun bermain catur dan telah berjaya meraih pelbagai kejuaraan termasuk berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Filipina pada tahun 2019.


Beliau mengakui sukan catur sukar untuk jadi popular kerana sifat semula jadinya yang sukar untuk sesetengah orang untuk faham.

“Catur ini sukar untuk sesetengah orang untuk faham dan ia berbeza dengan sukan bola sepak yang ia mudah difahami tetapi untuk catur setiap posisi berbeza dan sukar untuk mengenal pasti apa yang akan dilakukan membuatkan orang kurang berminat.

Saya sendiri juga kadang kala saya juga berasa bosan apabila melihat perlawanan catur jika gaya permainan mereka membosankan, tapi ia berbeza jika anda sendiri yang main.”

Li Tian yang ditemui semalam di Festival Catur Malaysia ke-17 turut bersaing dalam kategori Dato’ Arthur Tan Malaysian Open Chess Championship 2022.

Festival Catur Malaysia yang berlangsung di Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur membuka tirainya pada 2 hingga 11 September ini.