Nidzam Jamil puji aksi mantap Ahmad Zikri berjaya ‘rantai’ penyerang JDT

2,828

Ketua jurulatih interim Selangor FC, Nidzam Jamil memuji barisan pertahanannya terutamanya pemain muda Ahmad Zikri yang berjaya merantai penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari membuat serangan berbahaya.

“Ya barisan empat pertahanan beraksi dengan baik dan saya lihat Zikri beraksi dengan cukup baik pada malam ini. Bukan mudah nak jaga Arif Aiman, Safawi Rasid dan juga Fernando Forestieri.

Untuk pemain yang baru berusia 20 tahun ia cukup bagus bagi saya. Saya cukup gembira dengan prestasi Zikri,”

katanya.

Dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor berjaya memberi tekanan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan sekaligus berjaya menguitp satu mata selepas terikat 1-1.


JDT terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-9 menerusi sepakan penalti kontroversi yang disempurnakan oleh penyerang sensasi mereka iaitu Bergson da Silva.

Masuk separuh masa kedua, skuad Gergasi Merah terus memberi tekanan dan berjaya melakukan banyak serangan namun gagal menemui jaring.

Bagaimanapun pada minit ke-64 mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Herlisan Caion.

“Pasukan ini bukan mengenai saya tetapi pasukan ini mengenai penyokong. Kita perlu main dengan baik untuk mendapatkan keputusan untuk kembalikan penyokong di belakang kita. Ia sangat penting untuk kami transfer latihan ke perlawanan dan mendapatkan keputusan baik.

Saya percaya pemain-pemain buat yang terbaik untuk penyokong dan saya harap sikap yang baik ini kita dapat membina keyakinan penyokong untuk kembali berada di belakang kita sekali lagi.”

Sementara itu, selepas dua perlawanan sebagai ketua jurulatih beliau mengakui tidak mempunyai barisan kesebelasan utama pilihan, sebaliknya beliau akan menggunakan mana-mana pemain yang dilihat sesuai dengan percaturan taktikal setiap perlawanan.

Beliau juga enggan meletak sebarang sasaran untuk baki saingan Liga Super kerana mahu tumpu dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

Selepas ini Selangor akan berdepan tiga pasukan sukar iaitu Sabah FC, Kedah Darul Aman FC dan Melaka United FC yang mana mereka berharap akan mendapat keputusan yang baik.