Brendan Gan tak puas hati kerana tak berjaya menang dengan JDT

357

Ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan mengakui tidak berpuas hati apabila mereka tidak berjaya mengutip tiga mata penuh menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka hanya sekadar seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super malam tadi.

Brendan bagaimanapun berpuas hati dengan komitmen rakan sepasukan, namun berkata ia bukan persembahan terbaik mereka, sebaliknya hanya biasa sahaja.


“Saya tak akan gembira jika kami tidak menang tapi JDT adalah sebuah pasukan yang baik. Saya tidak berkata kita beraksi dengan bagus tapi okay saja dalam mengekang asakan daripada JDT, ia adalah tugas yang sukar tapi saya rasa kita bermain dengan baik dan berharap kami akan dapat teruskan momentum ini untuk perlawanan seterusnya.

Saya juga berbangga dengan kesemua pemain yang bekerja keras dan memberikan komitmen penuh sepanjang perlawanan dan saya bangga dengan mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, sememangnya sukar apabila bertemu dengan pasukan sehebat JDT tetapi mereka perlu tingkatkan lagi prestasi mereka jika mereka ingin bersaing dengan yang terbaik.

Dalam pada itu, pemain berusia 34 tahun itu berkata aksi pada malam tadi akan menjadi pembakar semangat buat mereka untuk dibawa ke perlawanan seterusnya.

“Kami perlu kembali ke padang latihan untuk terus perbaiki segala kekurangan untuk menjadi lebih baik.”

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor dikejutkan dengan gol awal pada minit ke-9 menerusi sepakan penalti kontroversi.

Gol awal itu tidak melunturkan semangat pemain Gergasi Merah sebaliknya mereka terus bermain dengan agresif dan pada separuh masa kedua mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64.

Mereka juga mempunyai peluang keemasan untuk menang perlawanan tersebut namun peluang yang terhidang gagal disempurnakan.

Selangor ketika ini berada di kedudukan kelapan liga selepas 16 perlawanan dengan mengutip 17 mata.