Zamsaham tekad bangunkan Kelantan FC langkah demi langkah, jadi kelab yang disegani di Malaysia
Pasukan TRW Kelantan FC telah mula menguatkuasakan peraturan larangan merokok dalam kawasan stadium.
Perkara ini telah diumumkan menerusi satu posting yang dimuatnaik dalam laman rasmi pasukan serta turut dikongsikan oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman menerusi akaun Facebook miliknya.
Hal ini terus memperlihatkan wawasan yang diterapkan oleh Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham dalam membawa pasukan Kelantan FC ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain larangan merokok, aspek kebersihan dan pergaduhan turut dititikberatkan oleh pengurusan pasukan bagi memastikan stadium dalam keadaan baik dan sesuai digunakan oleh semua penyokong.
Terdahulu, pasukan Kelantan FC telah tewas 2-1 dalam perlawanan menentang Selangor FC II yang dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV semalam (4 September).
Kekalahan ini menyebabkan mereka terlepas peluang bergelar juara Liga Perdana selepas pasukan Johor Darul Ta’zim FC II kembali menduduki takhta liga selepas berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan menentang Terengganu FC II.
Sebelum ini, The Red Warriors dilihat sebagai antara calon utama yang bakal dinobat selaku juara liga namun keputusan kurang memberangsangkan pada beberapa perlawanan terakhir menjejaskan rentak kecemerlangan tersebut.
Meskipun kecundang di minit akhir, persembahan para pemain Kelantan FC sepanjang musim ini perlu diberikan pujian sewajarnya.
Kejayaan menjadi pasukan di tangga kedua liga tetap menggembirakan Zamsaham yang tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara pada awalnya.
Sebaliknya, dengan bajet pasukan yang tidak begitu besar, beliau hanya mensasarkan agar pasukan ini tidak tersingkir ke Liga M3 musim depan.
Sasaran itu berjaya dicapai tatkala pasukan Kelantan FC menunjukkan kebangkitan luar biasa untuk bersaing rapat dengan pasukan JDT II yang dibarisi oleh pemain bintang dan pemain import berkualiti.
Lebih membanggakan, pasukan ini turut berjaya mencapai sasaran layak ke Liga Super secara merit pada musim depan.
Setahun lebih awal daripada perancangan yang sebelum ini dirangka oleh Zamsaham dan barisan pengurusan.
Kejayaan-kejayaan ini menunjukkan keberkesanan pendekatan selamat selangkah demi selangkah yang diterapkan oleh Zamsaham dari permulaan beliau mengambil alih.
Kini, mereka perlu bersiap sedia untuk menghadapi musim hadapan yang dijangka akan menjadi lebih mencabar dengan jumlah perlawanan yang semakin banyak serta kehebatan pasukan-pasukan Liga Super yang perlu dihadapi oleh mereka.
Tidak mustahil untuk pasukan ini terus melakukan keajaiban seperti mana yang telah ditunjukkan buat masa ini.
Zamsaham berjaya membawa kembali kegemilangan kepada pasukan pantai timur ini yang dilihat bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas terpalit dengan isu kewangan yang kritikal.
Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan untuk jangka masa yang lebih panjang untuk kembali menjadikan pasukan Kelantan FC sebagai salah sebuah kelab yang digeruni seperti suatu ketika dahulu.