Persatuan bola sepak, kerajaan negeri perlu bekerjasama sediakan dana untuk bola sepak wanita – Mohd Zerry Nazeri

328

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Mohd Zerry Nazeri berpendapat bahawa persatuan bola sepak negeri dan kerajaan negeri harus bekerjasama untuk menyediakan dana bagi meningkatkan lagi tahap bola sepak wanita di negeri masing-masing.

Katanya, untuk membentuk satu pasukan yang baik, dana adalah antara perkara utama kerana ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi.


“Bila kita dapat sediakan perbelanjaan, kita akan mampu sediakan kemudahan termasuklah dari segi latihan, pemakanan, sains sukan, psikologi dan juga mental pemain.

Bila elemen penting ini kita sediakan dengan cukup, pemain dapat berikan satu aksi yang terbaik apabila beraksi di atas padang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga merasakan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mewujudkan satu liga kompetitif supaya memberi platform kepada pemain-pemain wanita negara ini beraksi di peringkat yang tinggi.

Menurutnya, FAM perlu mewujudkan satu pelan pembangunan jangka masa panjang untuk pemain mengembangkan karier dan bakat mereka supaya bola sepak boleh dijadikan kerjaya.

“Jika kita lihat pasukan lelaki mempunyai liga bawah umur seperti B-19 dan B-21, jadi saya berpandangan bahawa FAM perlu memikirkan masa depan pemain-pemain yang mempunyai bakat.

Liga kompetitif ini amat penting supaya pasukan wanita kita boleh bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti di Asia.”

Mohd Zerry juga melihat terdapat perbezaan mengenai penganjuran bola sepak lelaki dan wanita di negara ini yang masih kurang dari segi promosi.

Beliau memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mewujudkan pertandingan bola sepak wanita di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Katanya, kejohanan pada peringkat umur 12, 15 dan 18 tahun boleh diadakan bagi mencungkil bakat-bakat pemain wanita dari usia yang muda.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen