Wujudkan akademi untuk bola sepak wanita, tidak mustahil boleh contohi kejayaan pasukan lelaki – Abdul Razak Saleh

282

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita Selangor FC, Abdul Razak Saleh, menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mewujudkan akademi khas untuk bola sepak wanita di peringkat bawah umur.

Menurutnya, sekiranya setiap negeri mempunyai akademi bola sepak wanita masing-masing, negara mampu melahirkan pemain-pemain yang berkualiti di setiap posisi.


“Jika tidak wujudkan akademi pun, mungkin boleh bekerjasama denagn sekolah sukan dengan meletakkan pemantau daripada FAM di situ dengan semua kemudahan asas ditanggung.

Itu adalah satu pelan jangka masa pendek dan panjang bagi meningkatkan lagi tahap bola sepak wanita di negara ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, struktur yang kuat daripada peringkat akar umbi adalah amat penting supaya para pemain dapat menguasai asas bola sepak apabila mereka sudah menjadi pemain senior.

Beliau merasakan bahawa bola sepak wanita di negara ini mempunyai peluang yang cerah namun ia seolah-olah dipinggirkan.

“Saya lihat jika FAM mengatur langkah yang betul dari peringkat sekolah lagi, dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi, tidak mustahil bola sepak wanita boleh berkembang.

Dalam keadaan sekarang, pihak bewajib perlu menyusun atur semula strategi kerana ia akhirnya akan memberi impak yang baik kepada pembentukan pasukan kebangsaan.”

Beliau berkata, sekiranya orang awam sendiri mampu menganjurkan pelbagai aktiviti dan kejohanan untuk bola sepak wanita, pihak berwajib seharusnya mampu melakukan lebih lagi.

Beliau juga menganggap bahawa usaha yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan menganjurkan liga bola sepak wanita boleh dicontohi oleh negeri lain bagi meningkatkan tahap bola sepak di negeri masing-masing.

Menurutnya, sekiranya usaha yang diberikan kepada bola sepak wanita sama seperti bola sepak lelaki, tidak mustahil ia mampu mendatangkan pencapaian seperti yang dicapai oleh pasukan bola sepak kebangsaan yang layak ke Piala Asia 2023.