Jangan harap jurulatih baru Malayan Tigress beri hasil segera, lihat contoh seperti JDT – Justin Ganai

482

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita Sabah, Justin Ganai berharap orang ramai akan memberi peluang kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan wanita baharu untuk membentuk pasukan sebelum melemparkan kecaman.

Menurutnya, semua jurulatih bola sepak memerlukan masa untuk membentuk pasukan sesuai dengan percaturan yang diinginkannya.


“Jika kita lihat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini, ketika tiga tahun pertama dibentuk dengan pemain-pemain terbaik di Malaysia, mereka masih belum berjaya memenangi piala.

Begitu juga Datuk Ong Kim Swee di Sabah FC, ada saja pihak yang mengkritiknya tetapi bagi saya beliau harus diberi peluang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sememangnya berusaha untuk melantik seseorang yang mampu memberi peningkatan kepada pasukan bola sepak wanita kebangsaan.

Dalam pada itu, beliau berharap FAM akan mengadakan lebih banyak kejohanan yang dianjurkan secara jangka masa panjang pada masa depan berbanding kejohanan bersifat karnival.

Katanya, tempoh masa pertandingan yang panjang mampu meningkatkan lagi tahap permainan para pemain dengan tahap kompetitif yang lebih tinggi.

Beliau juga berkata, FAM sebagai badan induk bola sepak negara harus membantu persatuan bola sepak negeri untuk menganjurkan liga di peringkat negeri.

“Penganjuran liga di setiap negeri adalah satu perkara yang baik kerana apabila kita ada liga sendiri, FAM boleh adakan liga antara negeri.

Justeru, kita akan lihat perkembangan yang baik untuk pasukan-pasukan bola sepak tempatan terutamanya pasukan kebangsaan.”

Menurutnya, FAM harus mempunyai perancangan jangka masa panjang yang melibatkan pembangunan di setiap negeri dan tidak hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu.

Jelasnya, sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, lebih banyak bakat yang akan dicungkil yang berpotensi untuk mewakili negara.