Hassan Sazali akui ada pemain yang sedang dipantau E.Elavarasan, tidak bawa Omar Raiyan atas faktor taktikal

606

Ketua jurulatih pasukan B-19 kebangsaan, Hassan Sazali telah setakat ini telah memanggil 26 orang pemain untuk hadir ke kem latihan bagi persiapan menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-20 2023 yang bakal berlangsung dari 14 hingga 18 September ini.

Pemain muda yang pernah beraksi bersama kelab Serbia, Red Star Belgrade B-18, Omar Raiyan serta penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman antara pemain yang tidak dipanggil untuk menyertai latihan.


“Saya lihat kepada kebolehan setiap pemain untuk bermain, Mongolia sudah semestinya akan bermain secara fizikal.

Saya tidak membawa pemain seperti Omar Raiyan dan Abdul Rahman atas dasar taktikal yang perlu saya lakukan, jadi saya tidak dapat membawa mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Hassan turut mengakui ada perbincangan yang telah diadakan bersama ketua jurulatih baru skuad B-23 negara, E. Elavarasan tentang beberapa orang pemain yang memiliki prospek besar di masa hadapan.

Kerjasama yang baik di antara dua jurulatih skuad muda negara ini akan mampu meningkatkan kualiti pasukan Harimau Muda kita di pentas antarabangsa.

“Satu perkara yang positif saya terima dari Coach Ela sendiri adalah dia sedang melihat beberapa pemain dari pasukan ini untuk dibawa ke skuad B-23.

Beliau begitu positif melihat perkembangan pasukan ini dari segi latihan dan perlawanan-perlawanan pasukan ini,”

Dalam pada itu, Hassan kini sedang rancak merencana program latihan dan persediaan bagi mempersiapkan para pemainnya menghadapi pusingan kelayakan.

Mereka diundi dalam Kumpulan E bersama tuan rumah, Mongolia, Sri Lanka serta gergasi Asia, Korea Selatan.

Hassan serta barisan kejurulatihan yang lain perlu mula merancang strategi terbaik bagi memastikan misi layak ke Piala Asia B-20 tahun hadapan tercapai.

“Misi kita adalah untuk layak ke Piala Asia, kita harus memperoleh mata penuh pada dua perlawanan awal menentang Mongolia dan Sri Lanka.

Perlawanan terakhir agak sengit kerana kita akan bertemu dengan Korea Selatan, jika menang itu adalah sebuah bonus untuk memastikan kita layak secara automatik ke Piala Asia.”

Beliau juga optimis kemampuan anak buahnya tatkala mereka berjaya menampilkan persembahan menyakinkan pada dua kejohanan terakhir yang disertai sebelum ini.

Kejayaan menjadi juara Piala AFF B-19 di Indonesia merupakan antara pencapaian terbaik pasukan di samping muncul naib juara di Kejohanan Jemputan B-19 di Vietnam Ogos lalu.

“Saya rasa dengan dua kejohanan yang telah kita lalui sebelum ini, saya lihat pemain-pemain ini telah mendapat pendedehan perlawanan yang cukup baik.

Kita berjaya mengekang pasukan Vietnam dan Thailand yang dianggap antara pasukan berjaya di Asia Tenggara.”

Tambahan pula, pemain yang dibawanya pada kali ini rata-ratanya memiliki peluang bermain bersama kelab di dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Majoriti pemain yang dipilih buat masa ini datang dari pasukan Selangor FC II, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II dan Skuad Projek FAM-MSN yang beraksi di Liga Perdana.

“Minit permainan adalah aspek utama yang saya lihat sebenarnya sebelum membuat pemilihan pemain.

Kebanyakan pemain mendapat sekurang-kurangnya 70 minit permainan bersama kelab, harapnya mereka dapat mengekalkan prestasi bersama pasukan negara.” tambah Hassan.

Semoga gabungan pemain-pemain berjaya menggalas harapan negara bagi menghidupkan peluang layak ke Piala Asia B-20 selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2018 di bawah kendalian Bojan Hodak.