Aysar Hadi akan kembali fokus kepada tugas kebangsaan, pasang impian layak ke Piala Asia B-20 2023

405

Ketua pasukan B-19 negara, Aysar Hadi kini kembali berlatih bersama skuad kebangsaan selepas selesai tugasan bersama pasukan kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Aysar yang sebelum ini cemerlang membantu pasukan negara menjuarai Piala AFF B-19 2022 akan terus meletakkan harapan yang tinggi untuk cemerlang di pusingan kelayakan Piala Asia B-20 yang bakal bermula pada 14 September ini di Mongolia.


“Sasaran peribadi hanya untuk layak ke Piala Asia, jadi kejuaraan sebelum ini akan jadi pembakar semangat untuk saya terus bermain sepenuh hati.

Kami akan sentiasa terapkan winning mentality pada setiap perlawanan selepas ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain berusia 18 tahun tersebut sebelum ini telah berjaya membantu skuad Piala Presiden JDT untuk menjuarai kejohanan tersebut selepas menewaskan pasukan Sri Pahang di perlawanan akhir dengan keputusan 2-0 Ogos lalu.

Beliau yang baru berkesempatan bersama pasukan B-19 kebangsaan berharap agar semangat dan momentum yang dimiliki oleh pemain pada ketika ini dapat dikekalkan untuk dibawa ke Mongolia kelak.

“Setakat ini yang saya tahu, semua dalam keadaan baik setelah empat sesi yang mereka jalani sebelum ini.

Saya baru melapor diri pada hari ini, semangat yang sama kami bawa untuk layak ke Piala Asia.”

Aysar juga merupakan salah seorang pemain yang telah berjaya membantu pasukan JDT FC II memintas Kelantan FC untuk kembali mendominasi saingan Liga Perdana musim ini.

Sudah semestinya, ketua jurulatih B-19 negara, Hassan Sazali akan terus mengharapkan khidmat Aysar dalam mengemudi bahagian tengah seperti mana yang dilakukan sebelum ini di Piala AFF B-19.

Selain muncul juara, Aysar turut dipilih selaku Pemain Paling Bernilai pada kejohanan tersebut.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai ini perlu terus menjadi motivasi untuk Aysar dan rakan sepasukan bagi memastikan misi layak ke Piala Asia B-20 2023 tercapai.

“Kami sentiasa bersedia dengan semua harapan yang bakal diletakkan kepada kami, jadi ini satu tanggungjawab untuk kami bermain dengan lebih baik dan layak ke pusingan seterusnya.”

Selain Aysar, Muhammad Ubaidullah serta Syahmi Adib merupakan antara pemain yang dikekalkan untuk menghadapi pusingan kelayakan ini.

Skuad muda ini dijadual bertemu pasukan Mongolia di perlawanan pertama kumpulan pada 14 September ini.