Tiba masa Sanusi fokus kepada pembangunan bola sepak negeri, beri Dr Daud Bakar uruskan sepenuhnya hal kelab

2,148

Kedah Darul Aman (KDA) FC telah memperkenalkan pemegang saham terbesar kelab yang baru iaitu seorang tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Beliau yang sebelum ini bertindak sebagai penaung kelab sejak 2021 akan memainkan tanggungjawab yang besar dalam menyusun hala tuju dan strategi masa depan untuk memacu masa depan skuad Sang Kenari.


Perubahan ini bakal memberi nafas baru kepada pasukan Kedah tatkala mereka dilihat sedikit bergelut musim ini dengan beberapa keputusan perlawanan yang kurang menyakinkan.

Sudah tiba masanya untuk Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi mula memberi sepenuh fokus kepada pembangunan bola sepak negeri terutamanya di peringkat belia daripada sibuk mencampuri urusan kelab.

Beri peluang kepada Dr Daud untuk melaksanakan segala perancangan demi kebaikan kelab berdasarkan pendekatan tersendiri tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Berdasarkan kenyataan yang diberikan sebelum ini, Dr Daud lebih gemar untuk bertindak dan membuktikan sesuatu daripada membesar-besarkan perkara yang tidak membawa manfaat kepada pasukan.

Beliau juga dilihat sudah mula berfikir ke depan selepas bercadang untuk menjalinkan Kerjasama bersama sebuah pasukan dari Thailand, Pattani FC.

Dr Daud mungkin kurang dikenali dalam dunia bola sepak namun beliau memiliki reputasi yang cukup gah sebagai seorang ahli korporat.

Anak jati Alor Setar yang berusia 57 tahun tersebut merupakan pengerusi bagi sebuah syarikat penasihat kewangan, Amanie Advisors yang berpengkalan di Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab selaku pengasas bersama bagi Experts Analytics Centre Sdn Bhd dan juga MyFinB Sdn Bhd.

Dr Daud yang cukup terkenal dalam industri kewangan Islam turut pernah dilantik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2022.

Selain itu, beliau juga turut menjawat pelbagai jawatan yang hebat seperti Ahli Badan Penasihat Bank of Oman serta Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.

Semoga kredibiliti dan karisma beliau selaku tokoh korporat ini dapat terus dibawa dalam menjulang pasukan Kedah kembali ke tahap terbaik.

Besar harapan penyokong pasukan utara tersebut untuk memperlihatkan kehebatan Dr Daud menguruskan pasukan tanpa sebarang campur tangan politik dari mana-mana pihak yang hanya akan menjejaskan prestasi pasukan.

Dr Daud boleh mengikut jejak langkah pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang bertanggungjawab sepenuhnya mengemudi pengurusan kelab serta usaha tanpa henti beliau untuk kembali menjulang pasukan The Red Warriors selepas krisis yang dialami mereka sebelum ini.

Cabaran yang bakal dihadapi oleh Dr Daud semestinya semakin sukar tambahan lagi dengan rombakan yang bakal dilakukan pada musim depan namun tiada yang mustahil dalam bola sepak.