Chanathip Songkrasin tidak sertai Piala AFF, Malaysia tetap perlu waspada kekuatan Thailand
Kira-kira tiga bulan lagi menuju ke kejohanan Piala AFF, pemain terbaik kejohanan itu pada edisi lalu, Chanathip Songkrasin dilaporkan tidak akan bersama skuad Thailand kali ini.
Menurut laporan, beliau mengambil keputusan untuk tidak bersama pasukan pada tahun ini kerana mahu berehat selepas saingan Liga Jepun berakhir.
Bintang Kawasaki Frontale itu dilaporkan berkata, beliau sudah lama tidak mendapat rehat yang cukup dan mahu berbuat demikian bagi memastikan dirinya kekal cergas untuk musim berikutnya.
Saingan J-League akan tamat pada November ini manakala Piala AFF akan membuka tirai pada 20 Disember.
Mungkin bagi negara-negara lain, terutamanya Malaysia, ini adalah satu berita yang baik kerana Thailand sudah pasti akan merindui aksi pemain itu mengawal bahagian tengah dan hadapan pasukan.
Namun Thailand sebuah negara yang kaya dengan bakat-bakat yang boleh menggantikan pemain itu, dan pemain-pemain yang berada di posisi lain juga mampu menjadi ancaman besar.
Ketika ini, tiga nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan tersebut iaitu Worachit Kanitsribampen, Bordin Phala dan Supachok Sarachat.
Supachok khususnya dilihat mampu menggalas tugas tersebut kerana selepas Chanathip berpindah daripada Hokkaido Consadole Sapporo ke Kawasaki Frontale, kelab tersebut membawanya masuk untuk menggantikan Chanathip.
Justeru, mungkin beliau mampu diberikan kepercayaan sama dalam skuad kebangsaan oleh ketua jurulatih, Alexandre Polking.
Harimau Malaya hanya akan bertemu Thailand sama ada di peringkat separuh akhir atau akhir, dan sekiranya menjadi kenyataan, Malaysia tidak boleh memandang rendah kekuatan pasukan Gajah Perang itu walaupun tidak diperkuatkan oleh Chanathip.