Justin Ganai akui jadual padat sedikit merumitkan, cuba beri saingan terbaik dalam kejohanan

627

Jurulatih berpengalaman, Justin Ganai yang kini melatih pasukan wanita Sabah mengakui kesukaran yang dihadapi ekoran daripada jadual perlawanan yang cukup padat bagi kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) tahun ini.

Namun, beliau tidak ingin terlalu terkesan dengan keadaan ini sebaliknya memberi lebih fokus dalam menyediakan pasukannya untuk berada di tahap terbaik pada setiap perlawanan.


“Bagi saya persediaan awal sangat penting, kita sudah jangka pertandingan ini akan memiliki jadual yang padat.

Saya bersedia kerana ada beberapa pengganti untuk mengambil tempat pemain yang cedera, memang bermain petang dan esok pagi memang satu perkara yang merumitkan tetapi kita akan cuba sedaya upaya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pasukan kendaliannya membuka langkah kanan dalam kejohanan ini selepas mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas pasukan juara bertahan, Melaka United pada aksi pertama Kumpulan A yang berlangsung di sebelah petang.

Kejayaan ini sedikit menunjukkan kemampuan pasukan Sabah meskipun tidak diletakkan sebagai pilihan utama.

“Kemenangan 3-1 adalah permulaan yang baik kepada pemain, kami kira ia adalah satu kemenangan yang baik.

Kita tidak tahu kekuatan pasukan masing-masing, bersyukur kita berjaya menang ke atas pasukan Melaka pada hari ini.”

Tambahan pula, Melaka United merupakan antara pasukan pilihan kerana mereka memiliki pemain pasukan kebangsaan seperti Steffi Sidhu dan Fatin Shahida.

“Saya tidak menjangka keputusan ini kerana Melaka merupakan penyandang juara, saya cuma arahkan pemain untuk berhati-hati.

Kita tidak mempunyai peluang tetapi para pemain dapat mengambil peluang yang ada sebaiknya untuk menang.”

Beliau yang memiliki pengalaman melatih skuad Liga Super Sabah FC sebelum ini gembira diberi peluang melatih dan membantu pembangunan pasukan wanita di negeri tersebut.

Pengalaman yang dimiliki oleh beliau sudah semestinya menjadi ilmu berharga yang bakal dimiliki oleh para pemain dalam meningkatkan lagi kualiti permainan mereka selepas ini.

“Perbezaan membawa pasukan wanita ini adalah kita tidak stress, banyak tekanan semasa bawa pasukan Liga Super.

Kita lebih tenang, sekarang banyak jurulatih jadi kitab oleh bahagi-bahagi tugas.”

Sabah dijadual bertemu pasukan Pulau Pinang pada perlawanan esok (6 September) yang bakal berlangsung pada pukul 8 pagi.