Steffi Sidhu akui PFAM ada rancangan untuk bola sepak wanita, akan lakukan sesuatu dalam masa terdekat

888

Ketua pasukan Melaka United, Steffi Sidhu yang telah dilantik selaku Exco Wanita Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) baru-baru ini akui telah memilki strategi jangka masa panjang dalam membantu pembangunan bola sepak wanita di negara ini.

Beliau yang juga merupakan ketua pasukan bagi skuad kebangsaan akan memainkan peranan penting dalam memperbanyakkan lagi pemain wanita yang mampu menggalas cabaran negara selepas ini.


“Saya adalah salah seorang Exco Wanita untuk PFAM, kami ada rancangan untuk mengadakan sebuah karnival pada bulan Oktober.

Kami akan cuba pelbagai aktiviti untuk mempromosikan bola sepak wanita kepada lebih ramai orang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, dengan adanya kejohanan seperti Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) serta Liga Wanita Nasional (LWN) tahun ini lebih membantu dalam usaha menambah bilangan pemain wanita sedia ada.

Peluang ini dapat dijadikan sebagai medium mencungkil bakat-bakat baru yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

“Sebenarnya kita perlukan pemain-pemain muda, gabungan dua senior dan pemain muda akan membantu untuk memperkuatkan sesebuah pasukan.”

Meskipun ramai pihak yang menganggap jadual perlawanan sedikit padat, Steffi memiliki pandangan tersendiri beliau selaku seorang pemain berpengalaman.

Beliau berharap agar semua pemain lebih bersedia dan mencari alternatif terbaik untuk kekal cergas pada setiap perlawanan.

“Sebab kalau kita lihat di Piala AFF baru-baru ini di Filipina, jadual lebih kurang sama dengan kejohanan ini.

Masing-masing perlu memainkan peranan dalam menjaga diri sendiri.”

Steffi dan pasukan gagal mendapatkan kemenangan pada perlawanan pertama menentang Sabah selepas kecundang dengan keputusan 3-1.

Kekalahan tersebut meletakkan mereka di tangga ketiga Kumpulan A di atas Pulau Pinang dengan perbezaan jaringan.

Selepas ini, pasukan Melaka United bakal bertemu juara LWN Zon Tengah, Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang pada perlawanan kedua.