Abdul Razak gesa lebih perhatian kepada bola sepak wanita, jangan terus pinggirkan sukan ini
Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Selangor, Abdul Razak tegas dengan pendiriannya menyokong perkembangan bola sepak wanita di Malaysia.
Setelah sekian lama membina pasukan, Malaysia dilihat masih berada di tahap yang kurang memuaskan berdasarkan pencapaian di beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.
“Saya berpendapat sejak sekian lama bahawa pasukan perempuan ini tidak boleh dipinggarkan sebab sukan ini sama seperti lelaki.
Kita ada Piala Dunia, kita juga memiliki sasaran dan dengan sedikit perbelanjaan yang diperuntukkan kita mampu memperbaiki prestasi di kejohanan seperti Piala AFF,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Razak berjaya membimbing pasukannya untuk melakukan kejutan ke atas pasukan pilihan dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR), Negeri Sembilan dengan kemenangan tipis 2-1.
Walaupun tidak mendapat rehat yang secukupnya ekoran daripada susunan jadual perlawanan yang ketat, para pemain pasukan Selangor tetap berjaya mempamerkan aksi bertenaga untuk mengawal perlawanan.
“Sebenarnya semalam jadi masalah, rehat kita yang tidak cukup tetapi saya tetap beri motivasi kepada pemain.
Kita tidak memberi motivasi pada malam semalam disebabkan ada pemain yang letih.”
Selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut, mereka kini berada selesa di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata.
Peluang ini bakal memberi peluang kepada Razak untuk melakukan pertukaran pada aksi penutup peringkat kumpulan bertemu Sarawak bagi merehatkan beberapa orang pemain utama yang telah berhempas pulas sepanjang kedua-dua perlawanan.
“Sasaran kami sebenar adalah untuk layak ke separuh akhir dan saya rasa selepas dua kemenangan ini memberi peluang untuk saya melakukan rombakan pemain sebagai persiapan ke peringkat seterusnya.”
Walaubagaimanapun, pengendali tersebut tidak mahu mendabik dada dan berasa terlampau selesa tatkala perjalanan mereka di dalam kejohanan masih panjang.
Selepas ini, beliau perlu terus menyiapkan anak buahnya untuk bersedia berhadapan dengan lawan yang lebih kuart di peringkat kalah mati.
“Sebenarnya sebagai jurulatih memang semua tekanan walaupun kita menang dengan jaringan yang banyak tetap ada tekanan.
Kita menghormati semua pasukan dan kami akan memberi fokus semua perlawanan satu per satu, saya tidak terlampau berfikir untuk menjadi pencabar dan sebagainya.”