Negeri Sembilan kecewa dengan mutu pengadilan, kecewa gol penyamaan minit akhir dibatalkan

522

Penyerang pasukan wanita Negeri Sembilan, Henrietta Justine gagal menyembunyikan kekecewaan beliau terhadap keputusan pengadil pada perlawanan menentang Selangor di kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR).

Jaringan penyamaan beliau pada babak kedua telah dibatalkan berdasarkan keputusan offside yang dilakukan oleh pengadil.


“Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan, kami bermain satu hati dan bermain dengan semangat.

Tapi, saya kecewa dengan pengadil kerana membatalkan gol tadi, saya harap lepas ini kami boleh dapat pengadil yang lebih berkualiti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaubagaimanapun, Henrietta bertekad untuk kembali mempamerkan aksi berkualiti bagi membolehkan sasaran mereka layak ke perlawanan akhir dapat dicapai.

Ketajaman beliau di bahagian hadapan akan terus ditagih bagi membolehkan pasukan Negeri Sembilan mara sejauh yang mungkin.

Meskipun kalah tipis di tangan Selangor, Negeri Sembilan berpeluang layak ke peringkat kalah mati berdasarkan jumlah mata yang telah dikumpulkan setakat ini.

“Saya harap boleh jaringkan gol dengan banyak untuk membantu pasukan Negeri Sembilan ke final dan menjadi juara.

Kekalahan tadi menjadi motivasi untuk kami berikan aksi yang lebih baik.”

Penyerang berusia 19 tahun tersebut tidak berasa tertekan dengan status mereka sebagai pasukan pilihan di kejohanan ini.

Mereka akan terus berikan yang terbaik bagi membolehkan mereka mencapai kemenangan demi kemenangan selepas ini.

“Status selaku juara Zon Selatan tidak memberi tekanan kerana kami sudah bersedia dan berlatih bersungguh-sungguh untuk ke PTSR.

Saya mahu bermain bola jadi saya perlu membaca corak permainan lawan untuk saya atasi mereka.”

Pada masa yang sama, kekecewaan terhadap mutu pengadilan turut dikongsi bersama penolong jurulatih pasukan, Masmalhadi Shukor.

Tetapi, beliau tetap gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh para pemain selepas mereka berjaya menunjukkan kebangkitan pada pertengahan perlawanan.

“Untuk permulaan, pasukan kami tidak dapat settle down dan perkara ini dimanfaatkan oleh pasukan Selangor.

Tapi, kami dapat seimbangkan perlawanan pada pertengahan dan separuh masa kedua kami telah berjaya mengawal perlawanan namun keputusan pengadil tidak berpihak kepada kami.

Beliau dan barisan kejurulatihan mengganggap keputusan tersebut salah dan menghancurkn harapan pasukan untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata berharga.

Selepas ini, pasukan Negeri Sembilan perlu mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir kumpulan menentang Kelantan.

“Gol yang dijaringkan oleh Henrietta dianggap offside sedangkan penilaian menunjukkan jaringan tersebut perlu dikira.

Di situ, kami berasa kecewa kerana pemain sudah bermain bermati-matian, tapi itu adalah rezeki kami pada hari ini.”

Negeri Sembilan kini berada di tangga kedua di belakang pendahulu Kumpulan B, Selangor.