Usliza tekad bantu Sabah gapai piala ke-13, ingin penutup gembira buat pasukan musim ini
Pemain bintang pasukan wanita Sabah, Usliza Usman gembira dengan aksi yang dipamerkan oleh beliau dan rakan sepasukan selepas dua perlawanan.
Sabah berjaya mencatatkan kemenangan kedua pada perlawanan menentang Pulau Pinang yang berakhir dengan keputusan 4-0.
“Ini adalah perlawanan yang cukup baik buat kami, kami menang 4-0 ke atas Pulau Pinang.
Semua pemain melakukan yang terbaik dan kami berjaya mendapatkan tiga mata lagi pada hari ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Momentum ini perlu diteruskan oleh para pemain bagi membolehkan mereka merealisasikan impian untuk mara sehingga ke perlawanan akhir dan menjadi juara Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) tahun ini.
Untuk rekod, kali terakhir pasukan Sabah menjadi juara PTSR adalah pada edisi 2004 selepas mengatasi pasukan PDRM.
“Kami akan cuba menjadi juara untuk dapatkan piala ke-13 untuk pasukan Sabah.
Penutup manis untuk Piala Tun Sharifah Rodziah tahun ini.”
Perlawanan akhir kumpulan menentang Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang bakal menjanjikan aksi sengit.
Sekiranya mereka berjaya mengekalkan rentak kecemerlangan ini, tidak mustahil pasukan ini akan berjaya mengulang kembali sejarah layak ke perlawanan akhir pada tahun 2016.
Sabah tewas di tangan pasukan MISC-MIFA pada tahun tersebut.