Kenyataan YAKEB ke atas Lee Peng tidak masuk akal, harus bela nasib bekas atlet sepertinya

562

Baru-baru ini, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menyelar tindakan bekas atlet paralimpik negara, Koh Lee Peng yang terus menyarung jersi negara sewaktu menjual barang seperti tisu dan tabung di sekitar Kuala Lumpur.

Lebih mendukacitakan, mereka turut menganggap tindakan Lee Peng tersebut sebagai sesuatu yang menghina atlet-atlet negara.


Perkara tersebut adalah tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi oleh sesebuah organisasi yang sepatutnya mewakili hak dan suara bekas-bekas atlet negara yang pernah menaruh keringat.

Tambahan pula, Lee Peng telah banyak menyumbang kepada sukan renang paralimpik negara dengan kejayaan yang pernah diraihnya di peringkat antarabangsa.

Sepanjang bergelar atlet para Malaysia, beliau telah menghadiah kan tujuh pingat emas serta tiga pingat perak pada aksi di Sukan Para ASEAN bermula dari tahun 2001 hingga 2005.

Jelas sekali, beliau sudah banyak membantu dalam mengharumkan nama negara dan untuk menganggap apa yang dilakukannya sebagai sebuah penghinaan adalah suatu yang langsung tidak masuk akal.

Bagaimana kalau perkara ini berlaku kepada para atlet para yang masih mewakili negara dan telah berjaya mencipta pelbagai kejayaan seperti pemenang pingat emas dalam acara angkat berat di Sukan Paralimpik 2020 dan Sukan Komanwel 2022, Bonnie Bunyau Gustin.

Situasi yang sama untuk atlet para lain yang berjaya seperti Ziyad Zolkefli, Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly.

Kesemua mereka kini sedang disanjung ekoran daripada kejayaan dalam sukan masing-masing.

Keadaan yang sama berlaku kepada Lee Peng yang sebelum ini diangkat dan dijulang sehingga pernah dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Tahunan Pulau Pinang bagi tahun 2016.

Segalanya berubah dengan sekelip mata selepas beliau bersara dan kini apa yang dilakukannya dianggap memalukan dan memburukkan imej negara.

Sudah semestinya layanan yang sama akan diterima seperti yang berlaku kepada mana mana atlet para tatkala golongan ini memiliki kelainan dari segi keupayaan.

YAKEB seharusnya lebih profesional dalam menangani perkara seperti ini walaupun mungkin pihak beliau menolak segala bentuk bantuan yang pernah dihulurkan.

Mereka perlu peka dalam mencari solusi terbaik kepada kedua-dua pihak, bukannya ‘mencurahkan minyak tanah ke dalam api’ dan menjadikan perkara ini lebih teruk dan berpanjangan.

Tidak boleh dinafikan, semenjak isu Lee Peng tular, masalah kebajikan bekas atlet paralimpik negara yang lain terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Sebagai contoh, bekas atlet paralimpik, Faizal Ali yang kini berhadapan dengan masalah gout dan perniagaannya yang telah musnah akibat dilanda banjir.

Diharap selepas ini, akan ada penambahbaikan dari segi penjagaan kebajikan para atlet serta inisiatif yang boleh diberikan kepada semua tanpa perlu melalui pelbagai proses yang rumit dan panjang.

Kita perlu menghargai perjuangan dan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh mereka sepanjang bergelar sebagai atlet negara.