Tindakan segelintir atlet tinggalkan BAM adalah baik, kerajaan tak mampu tanggung semua – Datuk Jana Santhiran

373

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran merasakan bahawa tindakan beberapa pemain badminton negara keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergelar pemain profesional adalah satu perkara yang baik bagi.

Ini kerana, beliau berkata, kerajaan tidak mampu terus menaja semua para pemain di bawah persatuan itu atas kekangan kewangan.


“Kita latih mereka dari peringkat akar umbi, beri latihan dan pendedahan kepada mereka, seterusnya mereka diambil alih oleh pihak swasta dan menjenamakan mereka sebagai pemain profesional.

Konsep berkongsi kos dengan pihak swasta ini pada pandangan saya perlu digalakakkan secara meluas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, apa yang penting adalah semua pemain tempatan bermain untuk negara dan membawa nama Malaysia apabila bertanding di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau yakin Malaysia mampu melahirkan lebih ramai lagi juara dunia seperti pasangan beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini.

Katanya, dengan penglibatan pihak swasta dalam menganjurkan kejohanan seperti Malaysia Purple League, lebih banyak bakat yang boleh dicungkil seperti kedua-dua pemain tersebut.

“Kita sedia maklum bahawa kedua-dua pemain itu juga pernah beraksi dalam kejohanan Malaysia Purple League ini.

Saya rasa jika semua jenis sukan boleh wujudkan kejohanan seperti ini, Malaysia boleh menjadi sebuah negara sukan yang boleh dibanggakan.”

Sementara itu, ketua pegawai operasi redone, Mohammad Farid Yunus berkata, penglibatan syarikat itu dalam sukan badminton dengan menaja beberapa pemain profesional seperti Soniia Cheah, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien adalah sebagai salah satu cara untuk membantu pemain-pemain yang bergerak secara profesional dari segi kewangan.

Beliau juga berharap lebih banyak syarikat swasta lain yang tampil menaja atlet atau kejohanan sukan seperti Purple League untuk membangunkan sukan di negara ini.

Beliau merasakan bahawa penglibatan redONE dalam menaja kejohanan Malaysia Purple League secara tidak langsung mampu membantu pemain profesional menjana pendapatan untuk menyertai kejohanan di luar negara.