Razman Roslan yakin pasukan negara mampu menjulang Piala AFF, tagih aksi sama seperti di kelayakan Piala Asia

372

Bekas pemain negara, Razman Roslan menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan pasukan bola sepak kebangsaan dalam menghadapi saingan Piala AFF 2022 yang dijadual bermula Disember ini.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan B bersama pasukan berkualiti seperti Vietnam dan Singapura perlu membuktikan kemampuan mereka di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.


Pada edisi terakhir, perjalanan skuad kebangsaan terhenti di peringkat kumpulan selepas gagal menyaingi kehebatan pasukan Vietnam dan Indonesia.

“Tidak mustahil dengan kualiti yang dimiliki oleh skuad negara ketika ini mampu menjulang Piala AFF walaupun sebelum ini sedikit terumbang-ambing.

Tetapi pasukan kali ini bersama coach Kim Pan-gon, saya rasa kita mampu tetapi pemain perlu memberi aksi sehabis baik seperti di kelayakan Piala Asia baru-baru ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang kini aktif bermain di liga sosial Selangor telah berjaya membantu pasukannya, Kelana United untuk menjadi juara Liga Divisyen 1 Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) baru-baru ini.

Kini, mereka sedang giat bersaing di dalam pusingan playoff untuk kejohanan Selangor Champions Legaue (SCL).

“Sudah lama sebenarnya saya diajak tetapi kerana saya mempunyai kontrak bersama pasukan professional, saya tidak boleh menyertai pasukan ini.

Saya masih berminat bermain bola sepak tetapi saya tidak ingin mempunyai komitmen sepenuh masa jadi bagi saya ini adalah pilihan terbaik kerana Kelana United ada misi untuk pergi jauh.”

Kehadiran beliau bersama beberapa orang lagi pemain berpengalaman seperti bekas pemain Selangor, Asraruddin Putra Omar membantu memberi motivasi kepada pemain muda untuk beraksi cemerlang.

Kelebihan ini membantu pasukan Kelana United untuk terus menjadi antara pasukan liga sosial yang berkualiti.

“Pengalaman yang kami ada sebagai pemain senior ini dapat digunakan sebaiknya untuk menjadi contoh kepada pemain muda.

Mungkin tahap permainan lebih rendah berbanding Liga Super dan sebagainya, tetapi tetap ada pasukan baik yang mampu memberi saingan kepada kami.”

Razman juga percaya kewujudan liga-liga seperti ini bakal memberi manfaat yang baik kepada masa depan bola sepak terutamanya kepada negeri Selangor.

Pihak bertanggungjawab perlu mula memberi fokus kepada bakat-bakat baru yang sedang beraksi di liga-liga sosial yang semakin mendapat perhatian.

“Sebenarnya, ramai pemain muda yang sebenarnya berbakat dapat kita lihat melalui liga sosial di Selangor namun belum ditemui oleh pihak bertanggungjawab.

Akan datang, akan ada lebih ramai pemain yang bakal mewakili pasukan Selangor datang dari liga sosial.”

Aksi terakhir Razman di Liga Super adalah sewaktu bersama pasukan Melaka United.