Jaga-jaga! Sri Pahang FC bakal jadi ancaman besar di Piala Malaysia musim ini
Baru-baru ini peminat Sri Pahang FC mendapat perkhabaran gembira apabila dua pemain tonggak utama musim lalu iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero akhirnya dapat diturunkan tidak lama lagi selepas kedua-dua pemain itu kini menjadi pemain naturalisasi.
Perkara tersebut turut diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) yang memaklumkan bahawa pihak mereka telah meluluskan permohonan pendaftaran pemain naturalisasi Sri Pahang sebagai pemain tempatan.
Disebalik keterujaan peminat dan pengurusan pasukan dengan kembalinya dua tonggak utama mereka itu, namun ia juga mencetuskan kebimbangan pasukan lawan yang bakal beraksi pada saingan Piala Malaysia 2022 nanti berikutan mereka hanya akan dibenarkan bermain ketika itu.
Walaupun tidak dapat bantu rakan sepasukan dalam saingan Liga Super, namun motivasi pemain sudah pasti akan melonjak naik apabila mereka kini tidak lagi berdepan sebarang konflik selepas Dato’ Dollah Salleh mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih baru-baru ini.
Malah prestasi skuad Tok Gajah terus meningkat naik hasil gandingan Dollah Salleh dan Fandi Ahmad apabila dalam lima perlawanan terakhir mereka berjaya menang tiga kali, seri sekali dan kalah sekali, sekaligus melonjakkan mereka untuk berada di kedudukan keenam liga selepas 17 perlawanan.
Dengan kehadiran Lee Tuck dan Aguero, Dollah mampu membina skuad yang cukup ampuh bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia nanti.
Kehadiran semula kedua-dua pemain itu sekaligus akan memberi bayangan kesebelasan utama yang bakal diturunkan Dollah untuk saingan Piala Malaysia nanti.
Selain Lee Tuck dan Aguero, pemain yang berkemungkinan akan berada dalam kesebelasan utama adalah Mamadou Samassa, Kevin Ingreso, Manuel Hidalgo, Steven Rodriguez, Nicolas Swirad, David Rowley, Azam Azih, Muslim Ahmad dan Azwan Aripin.
Jika dilihat dari senarai barisan kesebelasan utama ini, skuad Sri Pahang akan diperkuat oleh empat pemain import, dua pemain naturalisasi dan dua pemain kacukan, dengan hanya tiga pemain tempatan.
Kesemua pemain ini adalah pemain yang sangat berkualiti dan dengan taktikal daripada gandingan Dollah-Fandi, Sri Pahang mungkin akan menjadi ancaman paling besar buat pasukan lain yang bersaing dalam Piala Malaysia nanti selain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tidak mustahil juga buat pasukan Sri Pahang yang bermula dengan langkah kiri akan menghabiskan musim dalam kedudukan Top 4 liga musim ini sekaligus menamatkan musim dengan cemerlang biarpun terpaksa berdepan prestasi seperti ‘roller coaster’.
Jadi persoalannya kini, adakah Sri Pahang mampu kembali menjadi gergasi Pantai Timur seperti sebelum ini? Sama-sama kita tunggu.