Final Piala FA jadi medan terbaik Haziq Nadzli buktikan beliau mampu gantikan Farizal Marlias

456

Selepas bertahun-tahun menjadi pilihan utama menjaga gawang Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias kini dilihat mempunyai pencabar hebat.

Dalam dua perlawanan terakhir, penjaga gol berusia 24 tahun, Haziq Nadzli menjadi pilihan ketua jurulatih, Hector Bidoglio untuk menjaga gawang JDT.


Malah, Farizal sendiri mengakui bahawa Haziq menampilkan persembahan yang mantap ketika diturunkan dan merupakan pilihan yang lebih baik bagi perlawanan-perlawanan selepas ini termasuk perlawanan akhir Piala FA.

Pujian yang diberikan itu menunjukkan bahawa Haziq juga turut mendapat kepercayaan pesaingnya dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab lebih besar berbanding hanya memanaskan bangku simpanan.

Sebelum ini, ramai penyokong yang mahukan Farizal diganti dengan penjaga gol lain memandangkan persembahannya sudah tidak lagi stabil seperti dahulu.

Mungkin inilah masanya untuk Haziq menunjukkan bahawa JDT tidak perlu membeli penjaga gol lain tetapi mempercayai kemampuan beliau untuk menjadi penjaga gol utama.

Bukan sahaja di dalam skuad JDT, Haziq juga mungkin boleh terus menyasarkan untuk menjadi penjaga gol utama negara menggantikan Farizal.

Sekiranya beliau layak mengetepikan Farizal di JDT, peluang untuknya dalam pasukan kebangsaan pasti akan lebih cerah.

Walaupun menjadi pilihan dalam dua perlawanan terakhir, posisi penjaga gol utama JDT bagi perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini masih menjadi tanda tanya.

Di pentas akhir yang penuh dengan tekanan, sudah tentu Farizal memiliki lebih pengalaman berbanding Haziq, jadi tidak mustahil juga beliau diturunkan.

Ataupun ia boleh menjadi satu perlawanan ‘perpisahan’ buat Farizal, dan sekiranya JDT memenangi perlawanan itu, ia akan menjadi hadiah paling bermakna buat beliau.

Kontraknya bersama JDT adalah sehingga November 2022, dan dengan usianya sudah menginjak 36 tahun, ini besar kemungkinan menjadi tahun terakhirnya di Harimau Selatan.