Sudah tiba masanya pemain Orang Asli, Peribumi Sabah dan Sarawak diberi perhatian dan peluang

2,988

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bola sepak tanah air sibuk mencari jalan untuk meningkatkan kualiti bola sepak Malaysia dengan pelbagai cara dilakukan termasuk memperkenalkan program naturalisasi dan juga pemain kacukan.

Pelaksanaan program naturalisasi ternyata gagal apabila tiga pemain naturalisasi iaitu Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh tidak memberikan impak positif buat skuad Harimau Malaya, sebaliknya pemain kacukan seperti Dion Cools, Corbin Ong, Matthew Davies, Darren Lok dan beberapa lagi sahaja berjaya membuahkan hasil.


Kegagalan program naturalisasi membuatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghentikan program tersebut, namun masih membenarkan proses naturalisasi pemain dilakukan oleh pasukan di Liga Malaysia.

Disebalik keghairahan terhadap pemain kacukan, pihak bertanggungjawab terlepas pandang akan bakat tempatan terutamanya pemain dari kalangan Orang Asli dan juga Peribumi dari Sabah dan Sarawak.

Tidak menafikan usaha FAM dalam pembangunan akar umbi, namun rasanya sudah tiba masanya mereka turut memberi perhatian kepada anak-anak Orang Asli yang turut mempunyai minat dan bakat dalam bola sepak.

Mungkin sukar untuk melihat pemain-pemain Orang Asli kerana mereka boleh dikatakan tersisih dan kurang mendapat perhatian sejak di bangku sekolah lagi, tetapi perkara itu perlu diubah supaya peluang tersebut diberikan sama rata tanpa mengira kaum, bangsa atau pun etnik.

Baru-baru ini ketika kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Alor Setar, Kedah, seorang pemain cilik Orang Asli mendapat perhatian ramai iaitu Sa’ap Baharon yang mewakili pasukan MSS Kelantan B-12.

Menurut laporan dari sebuah portal tempatan, walaupun MSS Kelantan kandas di peringkat suku akhir, namun prestasi yang dipamerkan oleh Sa’ap telah menarik perhatian ramai berikutan fizikal, kepantasan dan skilnya yang dikatakan lebih hebat daripada pemain lain.

Walaupun berperwatakan pendiam, namun pemain kelahiran Gua Musang, Kelantan berusia 11 tahun itu diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten.

Ketika ini amat jarang kita melihat kelibat pemain bola sepak Orang Asli ini kerana mungkin mereka kurang pendedahan, tetapi tidak mustahil lebih ramai lagi pemain berkualiti dari kalangan Orang Asli dapat dicungkil sekiranya mereka diberi peluang.

Sementara itu, kehebatan Peribumi dari Sabah dan Sarawak juga tidak boleh dinafikan dan ia telah pun terbukti apabila ramai daripada mereka berjaya mencipta nama dalam dunia bola sepak Malaysia.

Antara nama besar yang sedang berada di puncak ketika ini adalah pemain Sabah FC, Rawilson Batuil dan juga pertahanan kental Kedah Darul Aman FC, Rodney Celvin. Ini hanya beberapa nama yang telah berjaya menjadi bintang di pasukan masing-masing.

Dengan sikap berani dan tidak gentar sudah pasti akan memberi kelebihan kepada mana-mana pasukan yang diwakili mereka dan tidak mustahil mereka mampu menyarung jersi kebangsaan satu hari nanti jika diberi ruang dan peluang.

Kadang kala ‘benda yang kita nak ada di depan mata, tetapi masih nak susahkan diri cari benda yang tidak pasti’.

Diharap selepas ini program-program pembangunan bola sepak akar umbi tidak akan tertumpu kepada komuniti di bandar sahaja, sebaliknya turut beri tumpuan pada komuniti Orang Asli dan Peribumi Sabah dan Sarawak.