JDT akan bermain dengan intensiti tinggi dan akan menguasai permainan – Hector Bidoglio
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berkata mereka akan bermain dengan intensiti tinggi dan akan mengawal perlawanan pada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu FC esok.
Menurut Bidoglio, tiada percaturan berbeza akan dilakukan sebaliknya mereka akan kekal dengan permainan sedia ada.
“Saya tahu pasukan ini sudah lama, jadi saya tahu cara nak menang adalah bermain dengan intensiti tinggi dan menguasai perlawanan. Walaupun saya baru sahaja mengambil alih pasukan, saya akan hormati apa yang dilakukan sebelum ini dan akan mengekalkan corak permainan saya untuk menang,”
katanya.
Pada masa sama beliau juga enggan menoleh belakang melihat sejarah yang mana pada musim lalu JDT tumbang di tangan KL City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, sebaliknya berkata JDT adalah sebuah kelab tanpa batasan yang mana mereka akan terus memberikan yang terbaik untuk mencapai kejayaan.
“Ya kami memang menghormati Terengganu tapi kami percaya kami yakin dengan komitmen tinggi setiap pemain jadi saya harap kami dapat berikan satu permainan menarik.”
Tambahnya lagi, beliau tidak mahu terlalu fokus pada pihak lawan sebaliknya mahu fokus pada pasukan sendiri bagi memastikan mereka bermain dengan corak permainan mereka sendiri.
Dalam pada itu, Bidoglio turut memaklumkan bahawa kesemua pemainnya berada di tahap terbaik dan tiada pemain yang berdepan sebarang kecederaan.
JDT akan menentang Terengganu pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana dijangkakan lebih 80,000 peminat akan membanjiri stadium.