FAM boleh ikut jejak langkah Sabah, Fandi Ahmad dan Bambang Pamungkas bakal meriahkan Piala SMJ

660

Sehingga ke hari ini, cadangan dan usulan para peminat terhadap penganjuran semula kejohanan bola sepak berprestij negara, Pesta Bola Merdeka tidak mendapat perhatian daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) lebih pantas dalam melakukan perkara ini selepas bekerjasama dengan Kelab Bola Sepak SS90 Sabah untuk menganjurkan sebuah pertandingan yang diberi nama Kejohanan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ.


Kejohanan yang akan berlangsung selama tiga hari ini bakal bermula pada 16 September ini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bakal merasmikan kejohanan ini yang bakal dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Pertandingan ini bakal disertai oleh lapan pasukan iaitu Sabah, Sarawak, Johor, Sabah SMJ, Selangor, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Lebih menarik kejohanan ini akan menampilkan bekas jaguh bola sepak ASEAN seperti ex bintang Selangor, Bambang Pamungkas serta Pengarah Teknikal Sri Pahang FC, Fandi Ahmad yang mewakili negara masing-masing.

Semestinya, acara ini akan mendapat sambutan yang cukup meriah tatkala para peminat berpeluang untuk menyaksikan kehadiran legenda tersebut.

Pasukan Sabah juga bakal membawa legenda mereka, Matlan Marjan dan Jelius Ating untuk memeriahkan saingan.

Piala SMJ ini menawarkan hadiah lumayan, wang tunai berjumlah RM 120,000 kepada pemenang.

FAM perlu mencontohi perkara positif ini bagi mengembalikan era kegemilangan bola sepak negara yang sebelum ini cukup meriah dengan penganjuran Pesta Bola Merdeka sejak berdekad yang lalu.

Pesta Bola Merdeka mempunyai reputasi tersendiri sebagai salah sebuah kejohanan bola sepak yang besar dan pernah disertai oleh pasukan gergasi seperti Jepun, New Zealand, Hamburger SV dan Ghana.

Di samping menjadi medan pendedahan kepada para pemain dalam menghadapi pasukan lawan yang lebih kuat, Pesta Bola Merdeka juga mempunyai nostalgia tersendiri di kalangan peminat setia bola sepak Malaysia.

Jika persatuan negeri seperti Sabah mampu melakukan kejohanan besar seperti ini, tidak mustahil untuk badan induk seperti FAM untuk mula mengambil inisiatif yang sama seawal tahun hadapan.

Mungkin terlalu lewat untuk diadakan pada tahun ini tambahan pula, pasukan Malaysia akan bertanding di dalam saingan King’s Cup di Thailand hujung bulan ini.

Selain skuad senior, Pesta Bola Merdeka mampu dijadikan sebagai medan percubaan untuk melihat aksi pemain muda daripada pasukan B-23 negara.

Terdahulu, pasukan B-23 negara berjaya menjadi juara Pesta Bola Merdeka yang kali terakhir diadakan pada tahun 2013 selepas menumpaskan pasukan Myanmar 2-0 di perlawanan akhir.

Besar harapan peminat untuk melihat suara dan harapan mereka untuk melihat penganjuran semula Pesta Bola Merdeka didengari dan diambil serius oleh pihak bertanggungjawab.