MEL 2022 buka peluang kepada atlet para, serlah bakat terpendam dalam bidang eSukan
Liga Esukan Malaysia (MEL) akan kembali menemui peminat pada edisi kedua yang dijadual bermula pada 12 September ini sehingga 3 Disember.
Kejohanan ini bakal menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM 299,500 kepada semua peserta selain menyediakan medium untuk para pemain ini menonjolkan bakat mereka.
Antara permainan yang akan dipertandingkan adalah Mobila Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnk’own’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF).
Menariknya, penganjuran MEL tahun ini bakal membuka peluang kepada golongan kurang upaya melalui acara Para MEL22 yang akan turut disertakan di dalam siri kejohanan tersebut.
Situasi ini akan memberi peluang yang besar kepada golongan ini tatkala acara esukan lebih mudah untuk dimainkan.
Suatu hari nanti, jika kejohanan Para Esukan mula dipertandingkan, Malaysia akan menjadi antara negara yang bersedia untuk memberi saingan.
Ini akan membantu kita dalam mengatasi kuasa besar Esukan rantau ASEAN yang lain seperti Indonesia dan Filipina.
Pada masa yang sama, MEL merupakan sebuah inisiatif yang sangat baik dalam membantu negara untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dalam Esukan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Esports Integrated (ESI) dalam menganjurkan acara ini bakal menambahkan perhatian terhadap Esukan yang sering menerima tanggapan negatif sebelum ini.
Ia juga membantu dalam menambahkan lagi fokus acara ini untuk dijadikan sebagai antara prospek utama negara di masa hadapan.
Berdasarkan pencapaian terdahulu, Malaysia memiliki rekod yang baik di dalam acara ini dengan kewujudan ramai atlet yang berkualiti.
Kontinjen Esukan Malaysia cemerlang di Sukan Komanwel 2022 selepas berjaya membawa pulang tiga pingat emas menerusi permainan eFootball (Terbuka), Dota 2 (Wanita) dan Dota 2 (Terbuka).
MEL22 Regular akan bermula di peringkat negeri menerusi Liga Negeri MEL22, ini akan memberi peluang kepada pemain-pemain untuk bersaing secara kompetitif.
Selepas berjaya di peringkat negeri, para pemain akan seterusnya mewakili negeri mereka di peringkat kebangsaan.
Tiada had kemasukan untuk Siri Terbuka di mana semua pemain dari pelbagai latar belakang layak untuk menyertai.
Semoga penganjuran MEL dapat diteruskan untuk tempoh yang panjang demi menyokong pembangunan Esukan negara.