Sah tidak lagi bersama FC Midtjylland, Dion Cools senjata baru JDT untuk Piala Malaysia?
Kelab Denmark, FC Midtjylland secara rasminya mengumumkan pihaknya menamatkan kontrak pemain warisan negara, Dion Cools secara persetujuan bersama sebentar tadi.
Masa depan pemain berusia 26 tahun itu menjadi tanda tanya sebelum ini selepas namanya tidak tersenarai dalam skuad Europa League Midtjylland.
Beliau menyertai kelab itu pada 2020 dan melakukan 53 penampilan dalam semua kejohanan.
Sebelum ini, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan bahawa kelab itu akan menandatangani Cools pada hujung tahun ini atau tahun hadapan selepas kontraknya tamat.
Ia adalah kerana harga pampasan untuk menbus kontraknya adalah terlalu mahal, justeru dengan penamatan kontrak tersebut, perkara itu dilihat akan berlaku dengan lebih awal.
Dengan status beliau kini adalah seorang ejen bebas, JDT tidak mempunyai masalah untuk mendaftarkannya sebagai pemain baru.
Sekiranya perkara itu berlaku, ia akan memperkuatkan lagi pertahanan JDT menjelang baki saingan Liga Super yang berbaki enam perlawanan saja lagi.
Cools juga boleh menjadi aset yang penting buat JDT dalam merampas kembali Piala Malaysia yang dirangkul KL City FC musim lalu.
Berita ini pastinya memberi tonik tambahan buat JDT menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu FC esok.
Para pemain JDT yang rata-ratanya rakan Cools dalam skuad kebangsaan sudah tentu akan menerimanya kehadirannya dengan tangan terbuka.
Cools dijangka akan kembali ke Malaysia dalam tempoh terdekat bagi memperkuatkan Harimau Malaya yang akan menghadapi kejohanan King’s Cup yang akan bermula 22 September ini.
Mungkinkah sebelum menyertai kem kebangsaan, beliau akan ke selatan tanah air terlebih dahulu untuk menandatangani kontrak bersama pendahulu Liga Super itu?