FFF dan PSSI bekerjasama tubuh akademi di Indonesia, satu usaha cemerlang bagi pembangunan akar umbi

232

Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) telah membuka sebuah akademi bola sepaknya, Akademi Bola Sepak Perancis (FFA) di negara jiran, Indonesia baru-baru ini.

Menurut pengarah teknikal akademi tersebut, Nicolas Posetti, akademi tersebut akan menyediakan pendidikan asas bola sepak yang betul kepada anak muda negara itu.


Kanak-kanak lelaki dan perempuan seawal usia empat tahun sehingga 18 tahun akan dididik mengenai bola sepak di akademi tersebut dengan yuran sebanyak satu juta rupiah sebulan, namun bagi kanak-kanak yang kurang berkemampuan, FFF akan membantu dalam bentuk biasiswa.

Perkara itu dilihat sebagai satu inisiatif yang amat besar memandangkan Perancis merupakan salah satu negara yang terbaik dalam sukan bola sepak.

Sudah tentu ia akan meningkatkan lagi pembangunan akar umbi bola sepak Indonesia yang sememangnya antara yang terbaik di Asia Tenggara.

Bukan sahaja di Indonesia, FFF telah membuka lima lagi akademi itu di luar Perancis sebelum ini iaitu di New York, Santa Cruz, Jeddah, Montreal dan Singapura.

Walaupun Malaysia merupakan antara negara yang sinonim dengan bola sepak di benua Asia dan rantau Asia Tenggara, merupakan lokasi bagi ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF), mungkin ada sebab mengapa pihak FFF tidak membuka akademi tersebut di negara ini.

Dari segi pembangunan akar umbi, banyak lagi sebenarnya yang perlu dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memastikan negara tidak ketandusan pemain-pemain muda berbakat besar.

Mungkin dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dan FFF untuk menubuhkan akademi itu, FAM selepas ini boleh turut menjalankan kerjasama sama ada dengan FFF juga atau kuasa besar bola sepak yang lain untuk menubuhkan sebuah akademi di sini.

Diharapkan selepas ini Malaysia turut mempunyai sebuah akademi bola sepak hasil kerjasama dengan persatuan bola sepak dari negara-negara besar lain.