Intan Serah harap lebih ramai orang faham pengorbanan pemain wanita, tidak terima bayaran semewah pasukan lelaki
Ketua pasukan bola sepak wanita Selangor, Intan Serah harap orang ramai akan lebih memahami situasi yang dihadapi oleh pemain wanita selepas ini.
Kebanyakan daripada mereka terpaksa tampil dengan lebih kerap di media sosial atas sebab mereka perlu mencari sumber kewangan yang mampu menampung kehidupan mereka sebagai seorang pemain bola sepak separuh masa.
Tambahan pula, tahap penerimaan bola sepak wanita di Malaysia yang masih di tahap rendah sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkara ini.
“Orang di luar sering membandingkan pemain wanita dengan pemain lelaki, mereka dibayar gaji bulanan yang mencukupi dan tidak perlu mencari side income.
Macam perempuan yang minat bola, mereka perlu mencari side income untuk survive, ada yang banker, bukan 24/7 main bola, jadi orang ramai perlu faham perkara ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa yang sama, Intan tetap berasa gembira dengan situasi yang berlaku buat masa ini di mana pemain wanita lebih berani mencari peluang yang dihidangkan menerusi platform digital seperti Instagram, TikTok dan YouTube.
Beliau yang juga merupakan seorang streamer dan influencer di media sosial berharap agar kelebihan medium ini dapat memanfaatkan golongan pemain dengan sebaiknya.
“Saya bangga yang sudah ramai menyedari kepentingan media sosial untuk menjana pendapatan, saya rasa ia adalah platform yang baik untuk wanita bina branding sendiri.
Saya tidak nampak keburukan yang sangat banyak, kita boleh disiplinkan diri.”
Intan gagal membantu pasukannya untuk mara ke perlawanan akhir Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) selepas terkandas di pusingan separuh akhir di tangan Melaka United.
Pasukan Melaka United yang tampil dengan pemain-pemain berpengalaman dilihat lebih menguasai perlawanan bermula dari wisel pertama.
Kebangkitan berjaya ditunjukkan oleh skuad Selangor pada penghujung babak kedua namun segalanya sedikit terlambat.
“Kecewa sebab kami tidak bermain dengan corak permainan biasa kami pada separuh masa pertama, bila jurulatih menukar taktikal baru kami berjaya masuk ke kawasan lawan. “
Jadual padat yang diatur sepanjang kejohanan mula menampakkan kesan, pemain dilihat tidak dapat memberikan aksi terbaik ekoran daripada pelbagai kecederaan yang mula dirasai.
Jelas, perkara ini menjejaskan rentak kecemerlangan pemain sekaligus memaksa mereka untuk memperlahankan permainan.
“Sangat terkesan, bukan saya sahaja malah semua pemain kerana perlawanan hari-hari jadi tempoh untuk pulih itu terlampau singkat.
Perkara ini mengganggu rentak kami, kami tidak memberi aksi 100% kerana sedikit penat.”
Walaubagaimanapun, tahun ini merupakan sebuah musim yang baik kepada bola sepak wanita di Selangor.
Usaha yang giat dilakukan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selama ini semakin memperlihatkan hasil.
Tahun ini, mereka berjaya menjadi naib juara Liga Wanita Nasional anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di belakang Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang.
Inisiatif yang dilakukan oleh pihak pengurusan ini juga dilihat berjaya melahirkan lebih ramai bakat muda bola sepak wanita yang semakin memeriahkan saingan.
“Saya hendak berterima kasih kepada pihak pengurusan Selangor kerana mewujudkan skuad bola sepak wanita Selangor dan menyokong kami dari LWN sehingga sekarang.
Saya harap kita tidak akan terhenti di sini sahaja dan akan berterusan selepas ini dengan adanya Liga FAS dan sebagainya.”
Diharap agar perkara ini dapat diteruskan bagi memastikan lebih ramai pemain wanita berkualiti yang dapat dihasilkan untuk menggalas cabaran negara di masa hadapan.