Tahun ini bukan milik Sabah, ketumpulan bahagian hadapan jadi punca kegagalan

279

Pemain pertahanan pasukan bola sepak wanita Sabah, Jessica Susanne tidak terlalu kecewa meskipun gagal mara ke perlawanan akhir Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR).

Mereka tewas di tangan pasukan Negeri Sembilan menerusi penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan keputusan 3-1 selepas perlawanan masa sebenar berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.


“Mungkin rezeki untuk Sabah belum ada, perlawanan lebih memihak kepada pasukan Negeri Sembilan.

Kami kurang dari segi penyudah kerana setiap bola yang dihantar tiada sokongan dari belakang tetapi apa pun kami sudah cuba yang terbaik tapi nasib tidak menyebelahi kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jessica bagaimanapun sedikit terkilan dengan kegagalan beliau menyempurnakan tanggungjawab sebagai pengambil tendangan penalti.

Kegagalan beliau sedikit sebanyak memberi kesan kepada moral pasukan sebelum sepakan terakhir ditepis oleh penjaga gol Negeri Sembilan yang berjaya pamer aksi cemerlang.

“Saya kecewa kerana ini merupakan kali kedua penalti yang saya ambil tidak berjaya masuk.

Saya memang kecewa dengan perkara ini, mungkin saya akan perbaiki teknik dan cara menenang penalti selepas ini.”

Namun, beliau tidak akan menjadikan kegagalan ini sebagai alasan untuknya terus berusaha dalam meningkatkan kualiti permainan selepas ini.

Jessica merupakan salah seorang pemain pasukan kebangsaan yang telah menggalas cabaran negara di kejohanan Piala AFF baru-baru ini.

“Sekarang pembangunan saya dalam sukan bola sepak semakin meningkat, lama saya berada di bangku simpanan.

Tetapi saya tidak pernah putus asa, saya yakin saya mampu pergi lebih jauh dengan semangat itu.”

Selepas ini, Sabah dijadual bertemu pasukan Selangor di perlawanan penentuan tempat ketiga yang bakal berlansgung pada esok hari (10 September).

Mereka perlu memberikan aksi yang terbaik untuk sekurang-kurangnya memperoleh sesuatu yang gembira sebelum berangkat pulang ke Sabah.

“Saya berharap perlawanan terakhir kami dapat mencuba yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mendapat tempat ketiga.

Saya harap tahun depan kami akan lakukan comeback.”

Sabah gagal mendapatkan kembali trofi PTSR yang pernah dimenangi sebanyak 11 kali oleh mereka sebelum ini.