Bergson berterima kasih kepada TMJ, tiada kata mampu jelaskan kegembiraan menjulang Piala FA

576

Penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Bergson da Silva muncul wira selepas berjaya beraksi cemerlang membantu pasukannya membenam Terengganu FC di perlawanan akhir Piala FA.

Bergson yang berjaya menjaringkan dua gol pada malam ini berterima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) atas segala usaha yang dilakukan oleh baginda dalam menjulang pasukan Harimau Selatan ke tahap yang mereka capai kini.


“Baginda memberikan segalanya untuk kami serta membantu kami untuk beri aksi terbaik.

Kami sangat bersyukur dengan adanya baginda, kelab ini adalah sebuah pasukan yang besar,”

katanya.

Aksi cemerlang beliau di bahagian serangan berjaya menghasilkan beberapa serangan merbahaya ke arah gawang lawan yang dikawal oleh penjaga gol tinggi lampai, Rahadiazli Rahalim.

Gandingan beliau bersama seorang lagi pemain import, Fernando Forestieri berjaya mengucarkacirkan pertahanan Terengganu FC yang tidak beraksi cemerlang.

“Ia berasa sangat baik, tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan saya ketika ini.

Kita tahu betapa pentingnya piala ini buat pasukan, kami berjaya melakukan yang terbaik sebagai sebuah pasukan pada malam ini.”

Dalam pada itu, beliau tidak mahu mengulas lanjut tentang masa depannya bersama kelab meskipun dikatakan bakal menamatkan kontrak pada penghujung musim ini.

Penjaring gol terbanyak JDT sepanjang zaman itu semestinya akan terus diletakkan sebagai senjata utama pasukan dalam usaha mengekalkan rentak kecemerlangan ini bagi memastikan Liga Super dan Piala Malaysia berada dalam genggaman.

“Saya akan kekal di sini, saya tidak tahu tentang kontrak dan sebagainya cuma akan terus berikan yang terbaik kepada pasukan.”

Pemain berusia 31 tahun tersebut berada di dalam momentum terbaik buat masa ini, ketajaman beliau bakal ditagih pada aksi berikutnya di dalam saingan Liga Super menentang Petaling Jaya (PJ) City FC pada 15 September ini.

Sokongan tanpa henti yang diberikan oleh peminat akan terus menjadi pembakar semangat terbaik dalam memotivasikan beliau dalam usaha memecahkan rekod penjaring terbanyak liga dalam satu musim yang sebelum ini dipegang oleh penyerang Melaka United, Ifedayo Olesegun.

Beliau kini telah mengumpul 21 gol di Liga Super selepas bermain untuk 14 perlawanan.

“Saya bangga dengan apa yang saya lakukan di sini, saya menyukai negara ini dan semua orang di sini semua memberikan sokongan.

Saya tidak tahu tentang perkara mendatang, hanya ingin beri yang terbaik.”

Kemenangan pada malam ini turut menghadiahkan kegembiraan kepada peminat setelah kali terakhir pasukan ini menjulang Piala FA pada tahun 2016.