Kami harus salahkan diri sendiri, JDT lebih lapar daripada Terengganu – Tchetche Kipre

1,138

Kapten Terengganu FC, Tchetche Kipre mengakui bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan pasukan yang lebih baik pada perlawanan akhir Piala FA sebentar tadi.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.


“Ia sangat mengecewakan kerana apabila anda bermain dalam perlawanan akhir, anda semestinya mahu menang.

Mereka manfaatkan peluang mereka dan kami tidak, bagi saya mereka lebih lapar daripada kami,”

katanya.

Beliau berkata, mereka harus segera melupakan perlawanan ini dan fokus kepada Liga Super untuk mengejar tempat kedua.

Katanya, persaingan merebut tempat kedua pastinya akan menjadi sukar kerana pasukan-pasukan lain turut berjuang berhabis-habisan.

“Kami ada satu perlawanan pada 14 September ini jadi kami harus terus kekal fokus, perlawanan hari ini sudah tidak boleh diubah.

Yang penting kami harus bangkit semula cepat kerana itulah yang anda harus lakukan selepas tewas.”

Pada perlawanan tersebut, JDT terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34.

Bergson da Silva menggandakan kedudukan buat JDT selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 sebelum Terengganu merapatkan kedudukan menerusi jaringan Kipre papda minit ke-75.

Bergson kemudiannya meletakkan JDT selesa di hadapan dengan gol kedua tiga minit kemudian dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.