Kami sasar untuk menang tiga piala musim ini – Hector Bidoglio

267

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyasarkan untuk memenangi tiga piala pada musim ini yang mana satu piala sudah pun berjaya dicapai apabila berjaya menjulang trofi Piala FA malam tadi selepas menumpaskan Terengganu FC 3-1.

“Sasaran kami pada musim ini adalah untuk memenangi tiga piala dengan Piala FA sudah berjaya menang, piala Liga Super semakin hampir dan akhir sekali Piala Malaysia,”

katanya.

Menurut Bidoglio, walaupun mereka berjaya menang mereka akan tidak boleh selesa sebaliknya akan terus bekerja keras.


Beliau pada masa turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk mengendalikan skuad Harimau Selatan.

“Saya ingin berterima kasih kepada Bos (TMJ) kerana percaya pada saya untuk bimbing pasukan dan pemain kerana memberikan persembahan yang cukup baik apabila berjaya menewaskan Terengganu malam ini.”

JDT bermula garang sejak minit pertama apabila melakukan serangan bertali arus di hadapan lebih 84,000 penyokong yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil dan berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke-34 menerusi Arif Aiman.

Bermula separuh masa kedua, JDT terus menekan barisan pertahanan Terengganu dan mereka berjaya melebarkan jaringan pada minit ke-62 menerusi sepakan penalti Bergson da Silva.

Sang Penyu kemudian merapatkan kedudukan pada minit ke-75 menerusi Tchetche Kipre, namun dua minit kemudian Bergson sekali lagi menghukum kesilapan barisan pertahanan dan penjaga gol Terengganu dengan menyumbat gol ketiga yang juga gol kemenangan JDT.

Ini merupakan trofi Piala FA kedua JDT selepas kali terakhir memenangi piala ini pada tahun 2016.